fbpx

IGB meterai perjanjian dengan Paradise Boulevard

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PETALING JAYA – Ingenieur Gudang Berhad, dahulunya dikenali sebagai Dynaciate Group Bhd, (IGB) mengumumkan bahawa anak syarikat milik penuhnya, MGudang Properties Sdn Bhd (MPSB) telah memeterai perjanjian jual beli bersyarat dengan Paradise Boulevard Sdn. Bhd. (PBSB).

Ia adalah untuk cadangan pengambilalihan 149 unit kompleks runcit dan komersial itu pada harga RM9.07 juta. 

Pengarah Eksekutif IGB, Melvin Lim berkata, pelaburan hartanah dijangka menghasilkan pendapatan sewa jangka panjang bagi Kumpulan dengan memanfaatkan pertumbuhan e-dagang di dalam negara.

“Kompleks runcit dan komersial tersebut dikenali sebagai Pandan Safari Lagoon Shopping Complex and Water Theme Park di Pandan Perdana, Bandar Ampang,” katanya dalam kenyataan.

Pemfailan kepada Bursa Malaysia menunjukkan bahawa cadangan pengambilalihan itu akan dipenuhi melalui tunai melalui gabungan pinjaman, hasil daripada pelupusan hartanah dan/atau dana yang dijana secara dalaman, yang mana bahagiannya akan ditentukan kemudian.

“Tanpa sebarang situasi luar jangkaan berlaku, cadangan pengambilalihan itu dijangka selesai pada suku pertama tahun kalendar 2023,” jelasnya.

Lim menerangkan, Kumpulan sentiasa mencari hartanah yang boleh menjana pendapatan berulang dalam jangka masa panjang. 

“Oleh itu, pengambilalihan yang dicadangkan adalah berbangkit dan pelengkap kepada strategi Kumpulan untuk mengenal pasti, melabur dan membangunkan hartanah berpotensi untuk peningkatan modal dan pendapatan sewa,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE

 

POPULAR