fbpx

Tiada amaran kesihatan, 382 botol arak dirampas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara arak yang diperiksa dan disita JKNS.

SHAH ALAM – Sebanyak 382 botol bernilai RM9,780.90 disita dalam operasi Penguatkuasaan Minuman Beralkohol sekitar Selangor, baru-baru ini.

Dalam operasi selama dua hari bermula 19 Julai lalu didapati kesemua botol itu gagal mematuhi Akta Makanan 1983.

Pengarah Kesihatan Selangor, Datuk Dr. Sha’ari Ngadiman berkata, antara kesalahan dikesan melibatkan label termasuk tiada nama dan alamat pengimport daripada syarikat di Malaysia pada bungkusan minuman produk.

Katanya, pihaknya juga mengesan tiada perkataan ‘meminum arak boleh membahayakan kesihatan pada bungkusan produk.

“Kita juga mendapati semua botol arak dengan keseluruhan 196,170 mililiter itu gagal mempamerkan notis tentang larangan penjualan minuman beralkohol kepada orang dibawah umur 21 tahun seperti dinyatakan dalam Jadual Kedua Puluh (20)C.

“Hasil operasi ini, sebanyak 15 notis 32B, di bawah Peraturan-Peraturan Makanan (PPM) 1985 telah dikeluarkan untuk pelbagai kesalahan dengan nilai kompaun berjumlah RM47,500,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau turut menjelaskan terdapat juga air minuman beralkohol yang diseludup masuk ke pasaran tanpa kebenaran pihak berkuasa.

Tambahnya, semua pengguna dan pembeli agar lebih prihatin terhadap penjualan produk makanan terutamanya minuman beralkohol.

“Ini bagi mengelakkan daripada berlakunya kes keracunan metanol yang biasanya dikaitkan dengan minuman beralkohol yang dikilangkan secara tidak sah.

“Pastikan juga minuman beralkohol mempunyai pelekat duti eksais daripada Jabatan Kastam Diraja Malaysia dan minuman beralkohol mematuhi segala kehendak Akta Makanan 1983 dan peraturan-peraturan di bawahnya,” katanya. – KOSMO!ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI