fbpx

Pekerja kebun kurang, sayur jadi mahal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR HIASAN
WARTAWAN EKSEKUTIF, MUHAMMAD AYMAN GHAFFA

SARANAN Majlis Pemulihan Negara (MPN) agar kementerian dan agensi berkaitan untuk mempermudahkan prosedur dan kema­sukan pekerja asing baru-baru ini sedikit sebanyak memberi nafas lega kepada golongan peladang di negara ini.

Pengerusi MPN, Tan Sri Muh­yiddin Yassin memaklumkan bahawa pengambilan pekerja asing merupakan keperluan pelbagai sektor ekonomi seperti perladangan, pembinaan, pembuatan, pengilangan serta perusahaan kecil dan sederhana.

Meskipun masih di peringkat awal, saranan tersebut dilihat merupakan salah satu langkah terbaik untuk membantu peladang sayur-sayuran di negara ini yang sememangnya bergantung kepada tenaga kerja asing.

Jika dilihat daripada sudut lain, peningkatan harga sayur-sayuran di pasaran ketika ini juga salah satunya berpunca daripada kekurangan pekerja di ladang-ladang besar di negara ini.

Sebagai contoh, ladang sayur di Lojing, Gua Musang sebenar­nya mengalami masalah kurang tenaga kerja sebelum pandemik Covid-19 dan keadaan itu berlarutan sehingga kini.

Penolong Pengerusi Persa­tuan Penanam Sayur dan Bunga Bumiputera Lojing, Yusop Abd. Rahman berkata, ladang di situ merupakan antara lokasi tanaman sayur-sayuran terbesar memerlukan seramai 30,000 pekerja bagi mengusahakan kawasan seluas 14,000 hektar.

Bagaimanapun, hanya 10,000 pekerja yang ada ketika ini untuk menguruskan pelbagai jenis ta­naman tanah tinggi seperti capsicum atau lada benggala, tomato, cili merah, terung dan salad.

“Produktiviti tanaman sayur-sayuran tidak dapat dioptimumkan apabila berlaku kekurangan pekerja.

“Ketika ini, 70 peratus pekerja merupakan orang asing. Langkah kerajaan untuk memudahkan prosedur kemasukan mereka sudah tentu meningkatkan pengeluaran sayur,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Yusop, kekurangan bekalan akibat kekangan pekerja mengakibatkan harganya melam­­bung sehingga 50 peratus.

Ujarnya, kebanyakan sayur tanah tinggi dijual RM8 sekilogram pada hujung tahun lalu dan kini mencecah hingga RM16.

“Ramai yang tidak tahu bahawa kekurangan pekerja dalam sektor perladangan boleh memberi impak besar kepada kitaran dan rantaian kehidupan masyarakat.

“Tenaga kerja amat diperlukan dalam sektor perladangan meskipun terpaksa bergantung kepada warga asing. Setiap tanaman perlu dijaga dengan rapi oleh manusia dan bukannya mesin.

“Selain itu, sayur-sayuran di Lojing turut dieksport ke Si­ngapura dan Dubai, Emiriyah Arab Bersatu. Jika berlaku kekangan produktiviti, sudah tentu hasil melalui eksport negara juga semakin berkurang,” katanya.

Ujar Yusop, langkah kerajaan untuk memudahkan kemasukan pekerja asing diharap dapat meningkatkan semula produktiviti penghasilan sayur-sayuran terutamanya di Lojing.

Sementara itu, Timbalan Pre­siden Persatuan Khalifah Nasio­nal Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Fared Abdul Ghani berkata, sebagai sebuah badan bukan kerajaan yang memperjuangkan hak-hak pengguna, beliau menggesa kerajaan agar segera menyelesaikan isu kemasukan pekerja asing ke negara ini.

Menurutnya, kesan kekura­ngan pekerja di sektor perladangan kepada pengguna dan masyarakat dapat dilihat ketika ini apabila harga bahan mentah termasuk sayur-sayuran me­ningkat meskipun terdapat kawalan menerusi arahan daripada kerajaan.

“Seperti yang diketahui umum bahawa industri makanan merupakan antara sektor yang dilihat kurang stabil sehingga ada yang mengatakan boleh berlaku krisis makanan ketika ini.

“Justeru, kerajaan perlu melihat dan menyelesaikan masalah di peringkat akar iaitu kekura­ngan tenaga pekerja agar penghasilan bekalan sayur-sayuran mencukupi untuk menampung keperluan pengguna,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI