fbpx

Indonesia nafi lulus proses penempatan pekerja di Malaysia secara online

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Judha menafikan Indonesia bersetuju luluskan kaedah penemapatan pekerja di Malaysia secara online seperti yang berlaku sekarang. - DetikNews

JAKARTA – Kementerian Luar Indonesia menafikan kenyataan pihak imigresen Malaysia berhubung perjanjian integrasi antara Sistem Satu Saluran (OCS) dan Sistem Online Pembantu Rumah Malaysia (SMO), lapor laman be­rita Tribunnews semalam.

Perjanjian itu  dikatakan menimbulkan masalah dan menyebabkan penggantungan sementara penghantaran Pekerja Migran Indonesia (PMI) ke Malaysia.

Hal itu ditegaskan oleh Pengarah Perlindungan Warga Negara Indonesia Kementerian Luar Negeri Indonesia, Judha Nugraha dalam satu taklimat media.

Beliau mengulangi bahawa pemerintah Indonesia tidak pernah menyampaikan kelulusannya terhadap penyepaduan mekanisme penempatan melalui OCS dan SMO.

Beliau mengaku terdapat pertemuan tidak rasmi antara wakil pemerintah dan wakil Malaysia, namun ia terhad kepada bertukar-tukar fikiran bagi mencari penyelesaian kepada pelbagai perselisihan pendapat berhubung penempatan PMI.

“Memang ada mesyuarat tidak rasmi oleh Kedutaan Indonesia di Kuala Lumpur dengan pegawai Kementerian Sumber Manusia dan Kementerian Luar Malaysia serta Imigresen Malaysia.

“Namun fungsi pertemuan sekadar bertukar buah fikiran selain mencari penyelesaian kepada perselisihan faham mengenai memorandum persefahaman (MoU) berkaitan proses integrasi,” kata Judha. 

Beliau sekali lagi menjelaskan bantahan Indonesia berhubung penerusan SMO sebagai mekanisme pengambilan dan penempatan PMI ke Malaysia adalah kerana ia menjadikan OCS yang dipersetujui kedua-dua negara tidak berkesan.

SMO juga dianggap secara jelas melanggar Perkara 3 Lampiran C MoU yang telah dipersetujui oleh kedua-dua negara.

SMO akan memintas proses pelepasan PMI mengikut prosedur termasuk dari segi proses latihan, seterusnya penyediaan kontrak kerja dan juga penyediaan dokumen.

Oleh itu, apabila warga Indonesia memasuki Malaysia menggunakan visa lawatan pelancong yang ditukar kepada visa kerja, mereka terdedah kepada eksploitasi pelbagai pihak.

“Justeru, pemerintah Indonesia menggalakkan kedua-dua negara segera mengadakan mesyuarat dua hala bagi mencari penyelesaian,” kata Judha. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI