fbpx
USAHA dakwah kepada bukan Islam perlu diteruskan bagi memberi gambaran jelas tentang agama suci ini. – gambar hiasan

Tiada azab bagi sesiapa yang tidak sampai kepadanya syiar Islam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Ada ramai bukan Muslim dalam dunia ini mati dalam keadaan tidak mengetahui tentang Islam. Mereka dianggap mati kafir. Mungkin mereka tahu tapi tidak faham tentang Islam. Apakah mereka tetap masuk neraka?

JAWAPAN:
Ini satu soalan penting. Ramai Muslim menganggap sesiapa yang bukan Muslim dalam dunia ini pasti masuk neraka.
Ada beberapa perkara yang perlu kita ketahui dalam hal ini.
Hujjatul Islam Al-Imam al-Ghazali (w. 505H) dalam Faisal al-Tafriqah bain al-Islam wa al-Zandaqah menyebut tentang mereka yang diselamatkan dengan rahmat Allah dari hukuman azab nereka, antaranya beliau menyebut: “Aku katakan bahawa kebanyakan Kristian Rom dan Turki pada zaman ini termasuk dalam rahmat ini dengan izin Allah, iaitu mereka yang berada di penghujung Rom dan Turki yang tidak sampai dakwah.
Mereka itu tiga golongan:- (Golongan pertama) mereka yang tidak sampai kepada mereka nama Muhammad sama sekali. Mereka itu dimaafkan.
(Golongan kedua) mereka yang sampai kepada mereka nama Muhammad, sifat-sifatnya dan segala mukjizat (bukti) yang telah nyata. Mereka ini berjiran dengan negara Islam dan bergaul dengan kaum Muslimin. Mereka ini kuffar yang nyata.
(Golongan ketiga) mereka ini antara dua keadaan. Sampai kepada mereka nama Muhammad SAW, tetapi tidak sampai ciri dan sifatnya.
Mereka sejak awal mendengar bahawa seorang ‘pendusta’ yang mengelirukan bernama Muhammad mendakwa menjadi nabi, mereka pada pendapatku sama seperti golongan pertama.
Mereka ini sekalipun mendengar nama Muhammad, tetapi mendengar apa yang bercanggahan dengan sifat-sifatnya. Ini tidak menggerakkan mereka untuk mencari kebenaran.”
Kenyataan al-Imam Ghazali ini sekalipun beliau bercakap pada zamannya, tetapi juga memberi gambaran, sesiapa sahaja yang tidak sampai hujah yang nyata tentang Islam sekali pun mengetahui nama Islam, tidak termasuk dalam golongan kafir yang layak dihukum neraka.
Apatah lagi di zaman kita ini, di mana wajah Islam yang sebenar sering dikelirukan dan orang Muslim sering bertindak mengelirukan orang lain, tentang Islam sebenar. Tuhan Maha Rahmat kepada sekelian hamba-Nya.
Sikap buruk sesetengah orang Muslim yang mendominasi keadaan, gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia.
Namun tidak dinafikan, ada yang telah sampai kepada mereka penerangan jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata, mereka boleh cari Islam sebenar dalam internet.
Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan palsu, antara yang indah dan buruk.
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan al-Quran iaitu Allah tidak akan mengazab seseorang melainkan setelah diutuskan rasul.
Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran benar daripada seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan dalam al-Quran (maksudnya):
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).
Inilah menyelamat bukan Muslim yang tidak sampai hidayah buat mereka.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN