fbpx
Tangkap layar rakaman insiden disyaki penderaan kanak-kanak yang tular di media sosial hari ini.

Pasangan suami isteri ditahan, disyaki dera anak angkat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KAJANG – Pasangan suami isteri ditahan kerana disyaki mendera anak angkat perempuan yang berusia empat tahun dalam kejadian di sebuah rumah sekitar Beranang, Selangor pada 18 Julai lalu.

Difahamkan, polis menerima laporan berhubung kejadian berkenaan tengah malam tadi kira-kira pukul 12.14 selepas tular di media sosial memaparkan insiden penderaan kanak-kanak tersebut.

Ketua Polis Daerah Kajang Asisten Komisioner Mohd. Zaid Hassan berkata, polis bertindak menyelamatkan kanak-kanak perempuan itu pada pukul 2.30 pagi tadi.

“Kita juga turut menahan pasangan suami isteri terbabit yang merupakan warga tempatan dan Singapura berusia lingkungan 28 hingga 30 tahun.

“Siasatan awal mendapati kejadian berlaku akibat mangsa tidak suka makan nasi sebelum suspek memaksa kanak-kanak itu menelan nasi sehingga termuntah,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Selain itu, mangsa dipercayai turut dipukul dengan penyangkut baju, batang penyapu dan juga dicucuh dengan pemetik api.

“Kanak-kanak perempuan itu telah dibawa Hospital Kajang bagi mendapatkan rawatan akibat kecederaan di beberapa bahagian badan.

“Mangsa merupakan anak kepada warga Indonesia dan tiada sebarang dokumen pengenalan diri sebelum diserahkan di bawah penjagaan suspek sejak April lalu kerana ibu kandung tidak mampu menjaganya,” ujarnya.

Tambahnya, pasangan itu kini ditahan reman selama tujuh hari sehingga 28 Julai di bawah Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Orang ramai yang mempunyai maklumat berhubung kejadian boleh menghubungi mana-mana balai polis terdekat atau berhubung dengan pegawai penyiasat kes, Inspektor Suresh Krishnan di talian 017433 3795. – KOSMO! ONLINE

POPULAR