fbpx

MRM bantu industri cipta reka bentuk jenama sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Sebahagian daripada penerima anugerah bergambar kenangan bersama Ban Hong (lapan dari kiri) di sebuah hotel di Putrajaya kelmarin.

PUTRAJAYA – Majlis Rekabentuk Malaysia (MRM) disaran memainkan peranan lebih agresif dengan memberikan khidmat nasihat dan perundingan reka bentuk terbaik melalui program Creating Own Design as Own Brand bagi membantu industri tempatan.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI), Datuk Lim Ban Hong berkata, buat masa ini, masih ramai pemain industri mengamalkan pendekatan Original Brand Manufacturer (OBM) walaupun kerajaan menjalankan pelbagai kempen kepada Original Brand Manufacturer (OBM).

“Pada masa sama, kementerian juga berharap dengan adanya bimbingan reka bentuk atau elemen reka bentuk diperjuangkan MRM, lebih banyak industri terutamanya perusahaan kecil sederhana (PKS) memahami kepentingan reka bentuk serta menitik beratkan elemen itu dalam penghasilan produk mereka.

“Ia seterusnya dapat melonjakkan lagi prestasi eksport syarikat masing-masing, malah MRM juga disaran bertindak lebih agresif dalam membimbing PKS tempatan menambah baik reka bentuk produk mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Malaysia Good Design Award (MGDA) 2021 dan Certified Industrial Designer (CIDe) di sini kelmarin.

Ban Hong menerangkan, reka bentuk merupakan aspek penting dalam penghasilan sesuatu produk sekali gus menjadi faktor penting memperkukuhkan jenama, pembangunan produk serta meningkatkan daya saing sesebuah perusahaan.

“Susulan itu, program-program turun padang dan ‘outreach’ perlu ditambah ke seluruh negara bagi mempertingkatkan kesedaran kepentingan reka bentuk yang berkualiti ke arah memperbaiki prestasi perniagaan,” jelasnya.

MRM merupakan agensi di bawah MITI yang ditubuhkan pada 1993 dengan memberi fokus untuk menjadi badan pemikir dan penasihat program dalam usaha melonjak kepakaran, keupayaan dan standard reka bentuk industri dalam negara.

MGDA pula merupakan anugerah yang diperkenalkan sejak 1997 dan menjadi pengiktirafan tertinggi buat industri reka bentuk dalam menyokong produk yang menitik beratkan aspek reka bentuk baik sebagai kriteria penting dalam penghasilan produk.

Sementara itu, mengulas mengenai permohonan pemain industri bagi mendapatkan pengiktirafan MGDA, Ban Hong berkata, trend itu menunjukkan peningkatan bagi tempoh lima tahun.

“Bilangan produk memohon pengiktirafan MGDA meningkat daripada 107 produk pada tahun 2015 kepada 326 produk pada tahun 2018. Bagi 2020 dan 2021 pula, sebanyak 252 produk daripada pelbagai kategori diterima untuk penilaian,” ujarnya.

Dalam pada itu, Pengarah MRM, Sulaiman Arshad menjelaskan, pihaknya sentiasa berusaha menerajui pelbagai aktiviti berkaitan reka bentuk bagi memberi kesedaran mengenai peranan elemen itu dalam memacu ekonomi negara.

“Berkat kesungguhan warga kerja MRM, pada tahun 2021, sebanyak 253 penyertaan telah diterima dan sebanyak 26 produk daripada 19 syarikat pembuatan dipilih untuk mendapat pengiktirafan.

“Produk terbabit terdiri daripada 13 kategori reka bentuk merangkumi pelbagai produk antaranya ruang tamu dan bilik tidur, dapur dan bilik mandi, produk riadah, hobi serta sukan selain produk seni bina dan alam sekitar,” jelasnya.

Pada majlis itu juga, buat julung kalinya diadakan penganugerahan CIDe kepada 16 individu yang mana mereka menerima pengiktirafan tertinggi buat pereka perindustrian tempatan sekali gus akan menggunakan gelaran CIDe pada pangkal nama masing-masing. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI