fbpx
SEKOLAH di Gaza itu ditubuh dan memberi fokus terhadap pendidikan peringkat awal dalam bidang al-Quran dan akademik termasuk pembelajaran tentang adab dan akhlak.

Siti, suami buka sekolah anak-anak Gaza di Palestin

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Penyanyi nombor satu negara Datuk Seri Siti Nurhaliza melahirkan rasa gembira apabila dapat membuka sebuah sekolah untuk anak-anak Palestin di Gaza.

Siti, 43, sewaktu ditemui Kosmo! memberitahu, sekolah yang diberi nama Afwa & Aafiyah itu memfokuskan kepada pendidikan peringkat awal dalam bidang al-Quran dan akademik termasuk pembelajaran tentang adab dan akhlak.

“Alhamdulillah, saya dan juga suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa bersyukur apabila dapat membuka sebuah sekolah untuk anak-anak Gaza yang telah beroperasi sejak setahun lalu di bawah Yayasan Nurjiwa.

“Setakat ini terdapat kira-kira 50 orang murid terdiri daripada kanak-kanak lelaki dan perempuan seawal usia empat tahun,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Ujar pelantun lagu Nirmala itu lagi, sekolah yang dibuka di sebuah bangunan yang disewakan itu telah diurus oleh wakil khas di sana.

“Pihak yayasan mempunyai wakil khas di Gaza yang diberi kepercayaan untuk menguruskan sekolah, tenaga pengajar dan murid-murid termasuk menguruskan kemudahan makanan yang diberi sewaktu persekolahan.

“Sekolah yang ditubuhkan pada 5 Oktober 2021 ini sedikit sebanyak memberi peluang kepada anak-anak Palestin mendapat pendidikan awal selain belajar dalam bangunan sekolah yang lebih selesa,” katanya.

Menerusi Yayasan Nurjiwa, Siti berkata setiap bulan pihaknya akan menyalurkan sumbangan minimum sebanyak RM10,000 serta bantuan lain seperti barangan keperluan sekolah dan makanan.

Dalam pada itu, Yayasan Nurjiwa juga tidak lupa membantu masyarakat di Malaysia apabila turut aktif mengadakan pelbagai misi bantuan sejak ditubuhkan pada 21 Ogos 2006.

“Sejak ditubuhkan sekitar 16 tahun lalu, Yayasan Nurjiwa giat menjalankan kerja-kerja amal seiring dengan objektif penubuhan sebagai sebuah badan kemanusiaan.

“Sejak ditubuhkan, pihak yayasan telah melaksanakan pelbagai program antaranya dengan mewujudkan Tabung Bantuan Khas Bencana Alam, Palestin dan terbaharu Covid-19 dengan kerjasama Kita Fund,” jelasnya ketika ditemui di majlis Sidang Media Music of The Soul: An Evening With Datuk Siti Nurhaliza di Hotel Royal Chulan di sini hari ini.

Siti yang bakal membuat sebuah persembahan amal selama dua hari pada 5 dan 6 November nanti bertempat di Dewan Plenary, KLCC berharap agar persembahan tersebut dapat mencapai sasaran supaya lebih banyak misi bantuan dapat dilaksanakan. – KOSMO! ONLINE

POPULAR