fbpx
Kamarul Rizal.

Empat keldai akaun diberkas di Pulau Pinang dan Perak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

BALIK PULAU – Empat lelaki dipercayai bertindak sebagai keldai akaun oleh sindiket pelaburan dan pinjaman tidak wujud dalam talian serta Macau Scam berjaya ditahan polis dalam serbuan berasingan di Pulau Pinang serta Perak semalam.

Ketua Polis Daerah Barat Daya, Superintendan Kamarul Rizal Jenal berkata, kesemuanya lelaki berusia 25 hingga 48 tahun itu ditahan selepas pihaknya menjalankan risikan terhadap mereka sejak seminggu lalu.

“Dua daripada empat suspek terbabit ditahan di Batu Maung dan Bukit Mertajam dekat sini manakala dua lagi ditangkap di Taiping dan Bagan Serai di Perak,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Menurut beliau, berdasarkan siasatan awal, jumlah kerugian yang dialami mangsa adalah antara RM13,000 hingga RM400,000 dan melibatkan kes yang dilaporkan sejak 2019 hingga tahun ini.

“Empat suspek kini direman selama empat hari bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” ujarnya.

Tambahnya, orang ramai diminta membuat semakan terlebih dahulu ke atas nombor akaun yang diberikan oleh suspek di Portal Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Polis Diraja Malaysia (PDRM) melalui pautan https://ccid.rmp.gov.my/semakmule atau memuat turun di Aplikasi Google Play Semak Mule CCID sebelum membuat sebarang transaksi. – KOSMO! ONLINE

POPULAR