fbpx

Gotabaya Rajapaksa dakwa Covid-19 punca Sri Lanka bankrap

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Rajapaksa melarikan diri dan bersembunyi di Singapura. - AFP

COLOMBO – Bekas Presiden Sri Lanka, Gotabaya Rajapaksa mendakwa telah melakukan sebaik yang mampu untuk mengelakkan krisis ekonomi negara tersebut daripada menjadi semakin meruncing, namun ‘usahanya’ itu digagalkan oleh pandemik Covid-19.

Menerusi surat peletakan jawatannya yang dibacakan di Parlimen kelmarin, Rajapaksa menyalahkan Covid-19 sebagai menjadi penyebab kepada krisis ekonomi yang telah mencetuskan protes dalam kalangan rakyat Sri Lanka sehingga memaksanya melarikan diri ke luar negara.

“Saya telah melakukan yang terbaik untuk negara ini dan akan terus berusaha sedaya upaya untuk masa depan Sri Lanka,” katanya menerusi surat yang ditulis dari lokasi persembunyiannya di Singapura.

Surat tersebut dibacakan oleh Setiausaha Agung Parlimen, Dhammika Dasanayake.

Bagaimanapun, tidak dapat dijelaskan sama ada Rajapaksa memberi isyarat mengenai hasratnya untuk kekal dalam politik Sri Lanka.

“Bagi saya, ia merupakan satu kepuasan peribadi apabila saya dapat melindungi rakyat daripada pandemik meskipun ketika ekonomi berdepan krisis,” ujarnya.

Pandemik koronavirus telah mengorbankan lebih 16,500 nyawa rakyat Sri Lanka serta menjangkiti 660,000 penduduk di negara yang mempunyai populasi seramai 22 juta orang itu.

Rajapaksa ketika gelombang pertama Covid-19 enggan melaksanakan perintah berkurung dan memberitahu para doktor agar tidak panik.

Salah seorang daripada menteri Kabinet juga berkata bahawa negara itu tidak memerlukan vaksin luar kerana rawatan diberikan pawang tempatan adalah lebih mujarab.

Sementara itu, Rajapaksa mendakwa bahawa rizab Sri Lanka telah pun berada dalam paras rendah ketika beliau mengambil alih pemerintahan pada November 2019.

Pandemik Covid-19 seterusnya memburukkan lagi keadaan tersebut, ujarnya.

Bagaimanapun, pengkritik menegaskan bahawa kegagalan pengurusan oleh kerajaan merupakan faktor utama yang menyebabkan negara itu jatuh muflis.

Angka rasmi menunjukkan Sri Lanka memiliki rizab antarabangsa berjumlah AS$7.5 bilion (RM33.3 bilion) ketika Rajapaksa mengambil alih pemerintahan.

Angka itu bagaimanapun merosot kepada hanya AS$1 juta (RM4.44 juta) ketika beliau meletak jawatan di samping negara tersebut turut diisytiharkan bankrap.

Dalam pada itu, Parlimen Sri Lanka akan memulakan proses pemilihan calon baharu Rabu ini bagi menggantikan Rajapaksa, lapor akhbar Arab News.

“Jika lebih daripada seorang Ahli Parlimen mencadangkan dan disokong, Parlimen perlu menetapkan satu tarikh dan waktu untuk mengadakan pilihan raya.

“Tarikh tersebut tidak boleh lewat 48 jam dari masa penerimaan nama calon,” kata Dasanayake kelmarin. – AFP/AGENSI

 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI