PETALING JAYA – Hampir tiga tahun tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran drama sejak pandemik Covid-19 melanda negara, pelakon Ayda Jebat tidak kisah dilabel ‘over protective’ atau terlalu melindungi demi keselamatan ahli keluarga.
Ayda Jebat atau nama lengkapnya Nur Suhada Jebat, 30, berkata, dia juga belum bersedia untuk kembali aktif dalam bidang lakonan kerana mahu memberi sepenuh tumpuan terhadap cahaya mata sulungnya, Ana Nayla yang masih kecil.
“Saya belum bersedia lagi untuk aktif semula berlakon dan tidak tahu sampai bila saya akan berehat.
“Keputusan ini saya buat kerana Ana masih kecil dan saya tidak mahu meninggalkannya dalam tempoh lama,” ujar Ayda.
Bercakap lebih lanjut, Ayda sebenarnya bimbang dengan kes Covid-19 dan influenza yang masih aktif.
“Covid-19 masih lagi aktif. Selain bimbangkan keselamatan Ana, saya juga perlu memikirkan soal keselamatan ahli keluarga lain.
“Bapa mertua saya juga mempunyai penyakit. Jadi untuk saya kembali aktif bekerja macam dahulu, saya perlu fikir banyak kali,” kata Ayda sewaktu ditemui di majlis pelancaran wajah baharu botol minuman Spritzer di Sunway Piramid baru-baru ini.
Mengakui masih lagi paranoid dengan keadaan sekeliling, Ayda dan juga suami enggan membuat sesuatu keputusan yang membawa kesan buruk kepada ahli keluarganya.
“Biarlah saya paranoid asalkan saya tidak menjadi penyebab atas kematian orang lain. Saya takut sangat jika ada kematian.
“Saya rasa itu adalah tanggungjawab yang sangat berat,” ujarnya.
Kata pelakon drama Dekatkan Jarak Kita itu lagi, sudah hampir tiga tahun dia tidak terlibat dengan mana-mana penggambaran drama sejak pandemik Covid-19 melanda negara sekitar tahun 2020.
Pada masa sama, Ayda juga telah mendirikan rumah tangga bersama pelakon Nabil Ahmad pada Januari 2021 dan dikurniakan cahaya mata sulung, pada September tahun yang sama.
“Sudah lama saya tidak berlakon sejak pandemik dan seterusnya mendirikan rumah tangga sehinggalah memiliki anak.
“Alhamdulillah, sepanjang tempoh itu, saya masih menerima banyak tawaran namun terpaksa menolak secara baik kerana mahu memberi tumpuan pada anak,” katanya.
Sejak dunia dilanda Covid-19, sehingga hari ini Ayda dan juga Nabil masih melakulan ujian calitan Covid-19 setiap hari bagi memastikan diri mereka bebas daripada wabak maut itu.
Malah, Ayda dan suami juga banyak menghabiskan masa di rumah kerana takut untuk berhadapan dengan orang ramai. – KOSMO! ONLINE
ngga bersama pelakon Nabil Ahmad pada Januari 2021 dan dikurniakan cahaya mata sulung, pada September tahun yang sama.














