fbpx
MENURUT Dr. Md. Nasir, Finas menerusi Jawatankuasa Dasar Perfileman Negara akan memikirkan cukai lebih bagus dan tidak membebankan penggiat industri.

Aura Syamsul tarik penonton ke pawagam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Kejayaan sesebuah filem untuk menagut kutipan tertinggi di pawagam bergantung kepada beberapa faktor termasuk kreativiti pengarah, pelakon, jalan cerita dan lain-lain.

Minggu ini, kolum Wawancara Kosmo! Ahad membawakan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim yang mengupas pelbagai topik menarik yang perlu ada pada sesebuah karya bagi menarik penonton ke pawagam.

Di samping itu, beliau turut membicarakan tentang pelbagai usaha dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi memastikan industri perfileman berada pada tahap tertinggi, sekali gus mengubah stigma negatif penonton kepada filem tempatan.

——————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————————-

 

KEJAYAAN filem epik, Mat Kilau memecah rekod kutipan pawagan tempatan dengan jumlah mencecah RM71.27 juta merupakan satu kejayaan besar buat industri perfileman tanah air.

Filem berkenaan berjaya membuktikan bahawa kreativiti pengarah, pelakon dan kru perfileman tempatan tidak kurang hebatnya jika dibandingkan dengan luar negara.

Hakikatnya, industri perfileman negara dilihat masih suram apabila banyak filem-filem yang ditayangkan di pawagam masih gagal meraih kutipan memberangsangkan.

Hal ini kerana, masih terdapat ‘stigma’ dalam kalangan penonton bahawa filem-filem tempatan mempunyai jalan cerita tidak menarik, selain kualiti video dan audio kurang memberangsangkan.

Stigma negatif itu memberi tempias kepada sesetengah filem tempatan yang berkualiti dan mempunyai jalan cerita menarik.

Justeru, pelbagai usaha dijalankan Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) bagi memastikan industri perfileman berada pada tahap tertinggi, sekali gus mengubah stigma negatif penonton.

Bagi mengupas lebih lanjut perkara tersebut, wartawan Kosmo! Ahad, Mohd. Shazwan Yusop berpeluang menemu bual Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Finas, Prof. Dr. Md. Nasir Ibrahim baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Kebelakangan ini, banyak filem dihasilkan pengeluar tempatan kurang memberangsangkan dari segi kutipan di pawagam kecuali beberapa filem seperti Mat Kilau, Munafik dan sebagainya. Apa sebenarnya yang berlaku kepada industri kreatif kita pada masa ini?

DR. MD. NASIR: Sebenarnya sebelum Covid-19 melanda negara pada tahun 2020, kita dapati sambutan penonton terhadap filem tempatan agak memberansangkan.

Misalnya, filem Ejen Ali: The Movie berjaya memperoleh kutipan RM35 juta, Upin & Ipin: The Lone Gibbon Kris (RM25 juta) dan Boboiboy Movie 2 (RM25 juta). Selepas beroperasi seperti normal, kita dapati penonton masih berhati-hati untuk ke pawagam kecuali bagi beberapa filem blockbuster luar negara.

Salah satu sebab lain yang dikenal pasti adalah kurangnya pengiklanan dan promosi (A&P) oleh pembikin filem tempatan.

Finas mempunyai garis panduan khas A&P yang boleh diikut oleh penerbit tempatan. Misalnya, ia harus bermula tiga bulan awal dan trailer perlu dihantar kepada pawagam sebulan lebih awal sebelum filem ditayangkan. Malangnya, banyak penerbit tidak ikut prosedur ini disebabkan kurang bajet dan mengharapkan dana A&P daripada Finas semata-mata.

Bagaimana kaedah atau usaha yang boleh dimainkan oleh Finas agar filem-filem kita setanding dengan filem luar dan boleh dipertandingkan di peringkat antarabangsa?

Bagi memartabatkan lagi industri filem negara, Finas sedang berusaha membangunkan modal insan berkualiti bermula dari kru, pelakon, pengarah sehinggalah penerbit.

Finas akan memanfaatkan Dana Latihan yang ada bagi menganjurkan kursus-kursus yang mampu meningkatkan lagi ilmu dan kemahiran para penggiat seni tempatan.

Misalnya, peserta kursus selepas produksi akan didedahkan dengan penggunaan peralatan dan perisian terkini bagi menghasilkan filem berkualiti.

Selain itu, Finas sedang berusaha memperbanyakan lagi usahasama antara penggiat filem tempatan dengan luar negara seperti Indonesia, Thailand, Australia dan China.

Menerusi usaha itu, ia secara tidak langsung dapat membantu pengiat filem tempatan meningkatkan kemahiran dan ilmu mereka.

Pada pandangan Prof., adakah filem-filem kita yang boleh diketengahkan untuk dipasarkan ke luar negara, selain memasuki pertandingan terutamanya di Barat?

Sebenarnya, ada filem-filem tempatan kita yang berkualiti yang boleh dipasarkan atau menyertai pertandingan di luar negara.

Ini kerana, kita ada beberapa pengarah filem tempatan yang sudah sampai tahap antarabangsa seperti Brando Lee yang mengarahkan filem The Medium.

Dalam filem tersebut, dia bekerjasama dengan pelakon-pelakon Hollywood yang bayarannya cukup tinggi.

Filem-filem Adrian Teh juga sangat berkualiti terutamanya daripada segi visual kerana menggunakan kamera canggih. Bagi filem yang tengah dalam pembikinan ketika ini, saya rasa hendak sampai ke tahap tertinggi itu masih jauh lagi.

Kebanyakan filem box office di negara ini tidak mementingkan aspek selepas produksi. Saya dapati banyak pembikin filem tempatan suka menghabiskan bajet semasa produksi.

Apabila tiba masa untuk proses penyuntingan dan sebagainya mereka ambil sambil lewa. Itu kadang-kadang kita dapati kualiti filem kita sangat rendah.

AURA Syamsul sebagai pengarah yang kreatif dikatakan antara faktor kejayaan besar filem Mat KIlau hingga sekarang.

Baru-baru ini, Persatuan Pengarah Filem Malaysia (FDAM) meminta FINAS agar mengkaji semula Program Peningkatan Kapasiti Kreatif Malaysia (MyCAP). Apa sebenarnya yang berlaku dalam perkara ini?

Sebenarnya, MyCAP ini menggantikan Padu Citra dan kedua-duanya adalah berbeza.

Ketika Padu Citra dahalu, kita berpecah apabila semua pelakon di bawah Persatuan Seniman Malaysia, pengarah di bawah Persatuan Pengarah
Filem Malaysia dan kru di bawah Persatuan Pekerja Profesional Filem Malaysia dikehendaki menjadi ahli untuk membolehkan mereka bekerja.

Pada pandangan CEO yang lepas, perkara ini tidak memberi keadilan buat persatuan-persatuan lain.

Justeru, Padu Citra telah dihapuskan dan digantikan dengan MyCAP. Saya dapati MyCAP ini mempunyai potensi lebih bagus dan kami berharap seramai mungkin penggiat seni akan mendaftar dengan MyCAP.

Siapa yang mendaftar dengan MyCAP berpeluang memohon dana dan inisiatif ditawarkan Finas. MyCAP juga akan jadi pangkalan data bagi semua penggiat seni tempatan dari aspek kepakaran, jumlah bayaran dan availability.

Penyertaan Malaysia di pasaran filem Marche Du Film (MARCHE 2022), adalah penting dalam mempromosi dan menjual produk kreatif negara ke peringkat antarabangsa. Setakat ini, apa perkembangan perkara ini dan manfaatnya kepada pemain industri?

MARCHE 2022 yang berlangsung di Cannes, Perancis baru-baru ini merupakan platform terbaik bagi mempromosikan Malaysia sebagai destinasi penggambaran antarabangsa, selain menjual produk kandungan kreatif tempatan.

Pada tahun ini, kita dapat jual RM158 juta kandungan kreatif tempatan. Paling penting, MARCHE menjadi pentas terbaik bagi mempromosikan Insentif Penerbitan Filem di Malaysia (FIMI) kepada pihak luar.

Menerusi inisiatif ini, syarikat produksi luar negara yang memilih Malaysia sebagai lokasi penggambaran berpeluang mendapat rebat tunai 30 peratus dan tambahan lima peratus melalui cultural test.

Tidak ramai pihak luar tahu bahawa kita mempunyai insentif yang tinggi rebatnya sehingga 35 peratus yang mana negara-negara jiran kita seperti Thailand hanya 25 peratus.

Isu panas berkaitan cukai hiburan yang dikenakan sehingga 25 peratus dan caj 50 peratus dikenakan panggung wayang membebankan pembikin filem dan penerbit. Boleh Prof. ulas sedikit mengenai perkara ini?

Cukai hiburan sebanyak 25 peratus terletak di bawah bidang kuasa pihak berkuasa tempatan (PBT).
Sebelum ini, bayaran cukai tersebut pernah diberikan kepada Finas, sebelum PBT mengambil sepenuhnya.

Saya berasakan setiap cukai yang dikenakan perlu memberi manfaat kepada masyarakat.

Untuk makluman, cukai hiburan kita sangat tinggi berbanding di negara luar.

Justeru, Finas mengambil langkah proaktif mengadakan perjumpaan dengan PBT di setiap negeri bagi membincangkan hal ini.

Finas merasakan 10 peratus sudah memadai bagi cukai hiburan.

Pada masa sama, Finas menerusi Jawatankuasa Dasar Perfileman Negara akan memikirkan cukai lebih bagus dan tidak membebankan penggiat industri.

Filem Mat Kilau telah menjadi fenomena di negara ini dengan memecahkan rekod dari segi kutipan di pawagam. Pada pandangan Prof. apa yang menyebabkan filem ini begitu berjaya?

Saya merasakan faktor utama kejayaan filem Mat Kilau adalah disebabkan aura serta kreativiti yang ada pada pengarahnya, Syamsul Yusof.

Kehebatan Syamsul menghasilkan filem aksi epik tersebut berjaya menarik minat penonton untuk beramai-ramai ke pagawam.

Satu lagi faktor adalah penglibatan Skop Production sebagai pengedar filem berkenaan yang mempunyai reputasi dan jaringan baik dengan pemain industri filem.

Justeru, tidak hairan filem itu dapat ditayangkan serentak di 98 pawagam seluruh negara.
Biasanya, filem tempatan hanya dapat ditayangkan sekitar 40 pawagam sahaja.

Faktor ketiga adalah disebabkan penonton di negara ini jarang didedahkan dengan filem-filem aksi persilatan.
Sebelum ini, filem yang ada unsur silat adalah Geran yang tidak kurang hebatnya.


UJAR Dr. Md. Nasir, banyak pembikin filem tempatan suka menghabiskan bajet semasa produksi.

Selama ini, ramai fikir cerita berunsur sejarah atau patriotik tidak menguntungkan. Selepas kejayaan filem Mat Kilau, ramai produser berlumba-lumba untuk membuat filem kenegaraan. Boleh Prof. ulas perkara ini?

Produser di negara ini gemar mengikut trend semasa. Sebelum ini, Allahyarham Mamat Khalid berjaya dengan filem komedi seram, ramai produser berlumba-lumba ingin buat filem genre berkenaan.

Malangnya, ramai yang gagal kerana lawak diketengahkan tidak cukup bagus.

Untuk menghasilkan sebuah filem kenegaraan, ia memerlukan modal besar, kalau tiada RM5 juta jangan mimpilah untuk menghasilkannya.

Kos ini bagi membiayai prop, pakaian atau busana serta membayar pelakon yang ramai. Finas sendiri telah mengemukakan usul untuk mengangkat legenda, Puteri Saadong dengan kerjasama sebuah produksi di Thailand.

Kami juga ingin menghasilkan filem ini menerusi bekerjasama dengan syarikat gergasi tempatan seperti dilakukan industri perfileman Korea Selatan.

Kini, ramai yang gemar menonton filem menerusi laman web peranti penstriman haram. Ia merupakan cetak rompak digital baharu yang kian popular. Boleh Prof. ulas mengenai isu ini?

Pada pandangan saya, jika filem itu ditayangkan di platform tertentu tanpa kebenaran penerbit, maka individu tersebut telah melakukan suatu kesalahan.

Pihak produser boleh mengenakan tindakan di bawah bidang kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Kesalahan berhubungan dengan Akta 322, Bahagian VIA Anti Rakaman Kamera.

Menurut perkara 43A, individu tersebut jika disabitkan boleh dikenakan denda tidak kurang daripada RM10,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan bagi suatu tempoh tidak melebihi lima tahun atau kedua-duanya.

Selain itu, undang-undang lain yang berkaitan adalah Seksyen 41 Akta Hak Cipta 1987; Seksyen 232 (b) Akta Komunikasi dan Multimedia 1998; dan Seksyen 239 Akta Komunikasi & Multimedia 1998.

Dalam hal ini, Finas tidak mempunyai kuasa perundangan untuk mengambil tindakan terhadap mana-mana individu yang melakukan kesalahan yang tersebut di atas.

Peraturan Finas hanya tertakluk kepada pemegang lesen pemameran sahaja.

Bagaimanapun Finas sebagai Jawatankuasa Cetak Rompak dan Jawatankuasa Teknikal menangani kandungan cetak rompak memainkan peranan membantu agensi KPDNHEP dan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN