fbpx

Penjimatan tidak jejas sistem kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Khairy Jamaluddin bercakap pada sidang akhbar selepas melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) peringkat negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Meru Raya, Ipoh hari ini. - Foto ZULFACHRI ZULKIFLI

IPOH – Kementerian Kesihatan (KKM) memberi jaminan bahawa langkah penjimatan dalaman seperti yang diarahkan Kementerian Kewangan tidak akan menjejaskan sistem perkhidmatan kesihatan negara.

Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar berkata, penjimatan hanya dilakukan bagi perkhidmatan bukan kesihatan seperti penganjuran acara selain kemudahan pakaian dan jamuan.

“Saya beri jaminan bahawa Pekeliling Perbendaharaan itu tidak akan menjejaskan perkhidmatan kesihatan. Perkara asas seperti (perbelanjaan bagi) ubat-ubatan, tidak akan dipotong (jimat).

“Yang kita akan potong adalah benda lain seperti majlis protokol, jamuan dan baju. Macam majlis buatlah di fasiliti sendiri, tidak perlu sewa hotel dan tidak perlu katering mewah,” katanya pada sidang akhbar di Meru Raya di sini hari ini.

Terdahulu, beliau melancarkan Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perak dan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan di Bulatan Sultan Azlan Shah yang turut dihadiri Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad.

Mengulas lanjut Khairy Jamaluddin berkata, setiap peringkat KKM telah diarahkan untuk melakukan penjimatan ekoran pekeliling yang dikeluarkan kelmarin.

“Ketua Setiausaha KKM, Datuk Harjeet Singh telah memberi arahan kepada semua bahagian dan juga program di bawah KKM untuk menggariskan langkah penjimatan seperti mana yang diarahkan.

“Di peringkat kementerian, kita akan minta semua jabatan, bahagian untuk senaraikan apa yang boleh kita jimatkan sejajar dengan apa yang dikehendaki oleh Kementerian Kewangan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI