fbpx

Kadar pengangguran belia turun 5.3 peratus

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ismail Sabri pada sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan di Padang Pekan Tuaran hari ini.

TUARAN – Kadar pengangguran dalam kalangan belia berumur 15 hingga 40 tahun di negara ini menunjukkan penurunan kepada 5.3 peratus bagi suku pertama 2022.

Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, peratusan itu sedikit menurun berbanding 5.9 peratus bagi tempoh masa sama tahun lalu.

“Hal ini menjadikan bilangan penganggur pada suku pertama tahun ini adalah seramai 585,000 orang berbanding 627,000 orang untuk tahun sebelumnya.

“Bagaimanapun, saya menjangkakan Jumlah ini akan terus menurun sekiranya kita mengambil tahu dan peduli pelbagai inisiatif serta program yang tersedia untuk semua belia yang ada di seluruh negara.

“Terbaharu, kerajaan melalui kerjasama strategik Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) dan Jabatan Ketua Pengarah Tanah dan Galian Persekutuan (JKPTG) memberi tumpuan lebih kepada pertanian bandar.

“Ini merupakan strategi bagi meningkatkan penglibatan golongan belia dalam sektor agromakanan selain Program Agropreneur Muda. Sejumlah 8,000 usahawan muda sudah menerima bantuan meliputi geran, pembiayaan, serta kursus jangka masa pendek, khidmat nasihat teknikal dan kewangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan sambutan Hari Belia Negara 2022 peringkat kebangsaan di Padang Pekan Tuaran hari ini.

Dalam pada itu, Perdana Menteri menyatakan Agro makanan dapat memberi pendapatan lumayan kepada pengusahanya sekiranya diusahakan secara bersungguh-sungguh menggunakan teknologi terkini.

“Ia dapat menjamin kualiti pengeluaran yang boleh dieksport bagi membantu menambahkan hasil negara.

“Penglibatan belia dalam sektor agromakanan akan diperkasa melalui pelaksanaan program Agro Job Fair@MAHA 2022 pada bulan hadapan yang menawarkan 5,000 peluang pekerjaan oleh syarikat-syarikat yang menyertainya.

“Oleh itu, saya menggesa graduan yang berminat serta golongan belia untuk merebut peluang pekerjaan dalam program ini.

Sementara itu, sempena sambutan Hari Belia Negara peringkat kebangsaan di Tuaran, beliau memaklumkan segmen Y-Career iaitu peluang kerjaya membabitkan 30 syarikat yang menawarkan 1,000 peluang pekerjaan untuk belia turut dibawa ke daerah ini.

Ismail Sabri berkata, semua kementerian dan agensi masing-masing turut menyediakan pelbagai program yang membabitkan golongan belia agar dapat terus memainkan peranan dalam pembangunan negara menerusi Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12).

“Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) umpamanya melaksanakan Program Bank Rakyat UNIpreneur yang membabitkan 500 mahasiswa dari setiap 25 universiti awam dan swasta mulai bulan ini.

“Program Young Entrepreneurship Engagement Talent (YOUNITY) pula melahirkan usahawan francais atau pra-francais di bawah MEDAC. Setakat ini, program berkenaan sudah menerima sebanyak 26 permohonan pembiayaan berjumlah RM4.31 juta sehingga akhir bulan lalu,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI