fbpx

‘Ibu pingat emas’ jadi buruan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SYAQIERA (tiga dari kanan) mendapat penghormatan apabila dipilih sebagai pembawa Jalur Gemilang kontinjen negara ke AUG 2022 hujung bulan ini.

HARAPAN tinggi seluruh peminat sukan tanah air mahu melihat Malaysia berjaya membawa pulang pingat emas acara bola sepak pada Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2022 di Ubon Ratchathani, Thailand bermula 26 Julai hingga 6 Ogos depan.

Ia bukan tugas mudah kerana edisi ke-20 kali ini diadakan di negara Gajah Perang yang sudah lebih sedekad diketahui sebagai kuasa besar bola sepak universiti di Asia Tenggara.

Bagaimanapun, pencapaian semasa pasukan-pasukan bola sepak kebangsaan juga tidak boleh dipandang rendah, lebih-lebih lagi menerusi kejayaan skuad Harimau Malaya layak secara automatik ke pentas Piala Asia 2023.

Tak kurang hebatnya skuad bawah 19 tahun (B19) negara ­melangkah ke perlawanan akhir Piala AFF B19 2022 menentang Laos malam tadi selepas menewaskan satu lagi gergasi Asia Tenggara, Vietnam di separuh akhir sebelum ini.

MOHD. Fo’ad (tiga dari kiri) dipilih sebagai CDM Malaysia ke AUG 2022.

Chef de Mission (CDM) Malaysia ke AUG 2022, Profesor Dr. Mohd. Fo’ad Sakdan optimis skuad bola sepak universiti kali ini mampu memberikan cabaran dan tentangan sengit dalam usaha­ mencipta kejutan membawa pulang ‘ibu pingat emas’ dari bumi Thailand.

“Kebanyakan pemain kita adalah daripada IPT (institusi pe­ngajian tinggi) yang bertanding di Piala KPT (Kementerian Penga­jian Tinggi) dan juga dalam liga-liga tempatan.

“Kita akan cuba yang terbaik walaupun sedia maklum berlawan di bumi Thailand. Mereka ada kemahiran dan skil yang tinggi untuk berlawan di peringkat ASEAN,” katanya.

Tumpuan juga terarah kepada beberapa sukan seperti terjun yang berpotensi menjadi ‘lubuk emas’ buat kontinjen negara selain olahraga untuk gelaran raja dan ratu pecut Asia Tenggara.

SYAQIERA pernah membuat penampilan di pentas Sukan Olimpik Tokyo 2020.

Biarpun kali ini tanpa kelibat ramai atlet berkelas dunia di­sebabkan bertembung dengan tarikh Sukan Komanwel Birmingham 2022 dan Kejuaraan Pencak Silat Dunia 2022 di Melaka, namun kem negara tetap optimis mampu mencapai sasaran 35 pingat emas AUG 2022.

“Kita telah buat perincian setiap jenis sukan yang berpotensi mencapai sasaran. Kita yakin­ 35 (emas) disasarkan mampu­ diraih dan kita letak (acara)­ renang sebagai lubuk utama,” jelas Fo’ad yang juga Timbalan Pengerusi Majlis Sukan Universiti Malaysia (MASUM).

Pembawa Jalur Gemilang, Syaqiera Mashayikh pasti­nya menjadi sandaran utama di AUG 2022 selepas membuat penampilan pada Sukan ­Olimpik Tokyo 2020 dalam acara­ recurve.

Kontinjen negara terdiri daripada 275 atlet dalam 19 jenis sukan juga mempunyai beberapa nama besar pernah beraksi di peringkat tertinggi seperti Welson Sim (renang), Azreen Nabila Alias (olahraga), Nurul Hidayah Abdul Karim (taekwondo) dan C. Shahmalarani (karate).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI