fbpx
KOULIBALY (kanan) akhirnya membuat keputusan untuk meninggalkan Napoli selepas lapan musim menyarung jersi kelab Itali itu. – AFP

Koulibaly bintang baharu Chelsea

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NAPLES, Itali – Tonggak pertahanan kental Napoli, Kalidou Koulibaly menjadi pembelian kedua Chelsea di bawah peme­rintahan pemilik baru kelab itu iaitu bilionair Amerika Syarikat (AS), Todd Boehly.

Koulibaly, 31, ketika ini dilaporkan sudah berada di Stamford Bridge untuk melakukan ­ujian perubatan sebelum nama­nya diumumkan sebagai pemain baharu Chelsea.

Kapten Senegal itu bakal menandatangani kontrak empat tahun dengan yuran perpindahan dianggarkan bernilai £34 juta (RM179.47 juta).

Sebaik sahaja perjanjian di­meterai antara kedua-dua pihak, Koulibaly akan ‘terbang’ menaiki jet peribadi untuk menyertai rakan sepasukan baharunya di California menghadapi aksi pramusim menentang Club America, Charlotte FC dan Arsenal.

Kehadiran Koulibaly sememangnya melegakan pengurus The Blues, Thomas Tuchel yang kehilangan dua pemain pertahanan tengah berpengaruh, Antonio Rudiger ke Real Madrid dan Andreas Christensen menyertai Barcelona awal bulan ini.

Menariknya, perpindahan Koulibaly ke Chelsea turut mendapat restu daripada para ­penyokong Napoli yang merasakan ia adalah langkah tepat dilakukan untuk perkembangan ­kariernya selepas ini.

Sebagai rekod, Koulibaly sudah membuat 307 penampilan dalam lapan musim bersama Napoli sejak berhijrah daripada kelab Belgium, Genk dengan harga berjumlah £6.5 juta (RM34.31 juta) pada 2 Julai 2014.

Difahamkan, urusan perpindahan Chelsea masih belum berakhir selepas bekas juara Eropah itu dikatakan masih mahu mendapatkan dua lagi bek tengah, Nathan Ake daripada Manchester City dan Presnel Kimpembe (Paris Saint-Germain). – AGENSI

POPULAR