fbpx

Filem Mat Kilau bukti rakyat Malaysia hargai karya tempatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAGAI pengarah, Waan Hafiz mengakui tidak tertekan dengan sambutan luar biasa filem Mat Kilau tetapi melihatnya dari sudut positif sebagai titik tolak kebangkitan industri tempatan.

KOTA BHARU – Tiada sekelumit rasa tertekan, pengarah Waan Hafiz memandang kejayaan Mat Kilau: Kebangkitan Pahlawan sebagai titik permulaan untuk pembikin filem negara menghasilkan sesuatu karya yang memenuhi kehendak penonton dan bukan lagi bersifat ‘syok sendiri’.

Kata pengarah filem Mat Tudung berkenaan, setiap pengarah dan penerbit perlu meletakkan jangkaan tinggi dalam setiap naskhah setara dengan harapan yang diberikan peminat karya tempatan.

“Setiap jangkaan dalam penghasilan sesebuah filem perlu tinggi sebab penonton kita sentiasa meletakkan harapan yang menggunung. Ini bukan nak ‘mengipas’ penonton tetapi realiti.

“Perkara tersebut yang perlu diketahui setiap pembikin filem. Hasilkan filem untuk penonton bukan semata-mata demi eksperimental atau try and error,” katanya kepada Kosmo! Online.

Waan Hafiz berkongsi pandangannya ketika ditemui di set penggambaran filem arahannya, Don Dukun di sini semalam.

Menurutnya lagi, tanggungjawab yang besar terletak di tangan pembikin filem kerana perlu membawa satu perubahan besar terhadap industri filem tanah air selain menyasarkan kutipan tinggi.

“Pembikin filem pegang tanggungjawab besar, bukan sahaja hasilkan naskhah hebat tetapi perlu beri kepuasan kepada para penonton.

“Jadi, kejayaan Mat Kilau membuktikan karya tempatan mampu berjaya. Semua itu tidak beri tekanan pun tetapi membawa satu harapan dan semangat baharu untuk pembikin filem lain hasilkan naskhah yang bagus selepas ini,” jelasnya.

Tambahnya lagi, penggiat seni tanah air juga harus ada perasaan gentar tatkala melihat filem Hollywood meraih kutipan jutaan ringgit di negara luar.

“Sudah tiba masanya kita rasa gentar dengan filem Hollywood yang mampu meraih jumlah kutipan jutaan ringgit.

“Pembikin filem pun perlu ada pemikiran bahawa penonton negara ini bukan lagi biasa-biasa, mereka mahukan sesuatu yang bagus.

“Kami sebagai pembikin filem juga perlu hasilkan sesuatu yang boleh memajukan diri sendiri.

“Sekarang bukan lagi fasa try and error. Jika nak realisasikan sesuatu, perlu ada satu pelaburan juga,” ujarnya lagi.

Don Dukun yang dijangka menemui penonton di pawagam tahun depan membariskan bintang terkenal iaitu Zul Ariffin, Marsha Milan, Ropie dan Douglas Lim. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI