fbpx
SELAIN hidangan berat, roti bakar turut disediakan di kopitiam ini.

Sajian Melayu, Baba Nyonya buka selera

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Rokiah Kopitiam, walaupun baru dibuka tidak sampai dua bulan di lokasi paling popular di Ipoh iaitu Concubine Lane atau nama asalnya Lorong Panglima, namun wajib disinggahi jika ke sini.

Terletak di hujung salah satu deretan bangunan lama di Concubine Lane, kafe berkonsepkan klasik Melayu tradisional ini pasti memikat pengunjung sebaik melangkah masuk.

Namanya yang unik meletakkan Rokiah Kopitiam berada dalam kelas tersendiri di sebalik beberapa kafe hipster dan kopitiam sama di bandar raya ini, apatah lagi lokasinya yang eksklusif.

Ia menyajikan selera tradisional Melayu Johor dan Melaka bersulamkan sajian Baba Nyonya.

Mungkin ada yang sudah jemu bersantai di kafe-kafe hipster, jadi Rokiah Kopitiam paling sesuai untuk dijadikan tempat beristirahat atau mencari inspirasi sambil melayan nostalgia.

Rokiah Kopitiam mengambil sempena nama nenda pemiliknya, Rokiah Abu Chik, iaitu wanita berdarah peranakan Baba Nyonya Melaka.


SUASANA di dalam Rokiah Kopitiam yang mengimbau nostalgia silam antara tarikan pengunjung ke situ.

Pemiliknya, Nurul Hadjar Jamaluddin atau mesra dipanggil Jay berkata, dia memilih lokasi tersebut kerana ingin mengetengahkan makanan Melayu tradisional kepada semua lapisan pengunjung.

Sajian-sajian di sini antaranya roti bakar, nasi lemak Sentul, lontong Rokiah, soto ayam, mi goreng bodoh, nasi goreng kerabu daging salai, Penang white curry mee dan mi udang Rokiah.

Dua hidangan signatur pula ialah set asam pedas Johor dan set daging masak lemak cili api.

Katanya, kebanyakan menu tersebut merupakan kegemaran keluarga yang dimasak mengikut resipi nendanya.

“Nenek saya iaitu Rokiah pernah membuka gerai di Sentul suatu ketika dahulu semasa tinggal di Kuala Lumpur sebelum berhijrah ke Ipoh.

HIDANGAN asam pedas Johor dan daging masak lemak cili api dapat sambutan pengunjung.

“Bezanya, kini ia disajikan dalam sebuah kopitiam dengan tambahan menu-menu lain mengikut cita rasa semasa,” ujarnya.

Jika hidangan yang ada dirasakan berat, pelanggan boleh memilih untuk minum kopi sambil menikmati kuih-muih seperti karipap pusing, kuih seri muka, cucur badak, popia goreng dan keropok lekor yang disajikan panas-panas dari dapur.

Harga variasi makanan di Rokiah Kopitiam pula sangat berbaloi iaitu antara RM5 hingga RM18.

Menurut Nurul Hadjar, sepertimana kedai-kedai lain di situ, bangunan kopitiam tersebut merupakan rumah warisan tauke Cina yang berusia lebih 125 tahun.

“Mengikut sejarah, ia menjadi tempat tauke-tauke bijih timah menyimpan gundik-gundik suatu ketika dahulu.

“Sebab itu sebagai bangunan warisan ciri-ciri sedia ada pada bangunan batu berlantaikan kayu setinggi tiga tingkat ini dikekalkan,” ujarnya.


ANTARA sajian yang memikat selera.

Dengan mengekalkan keaslian struktur bangunan tanpa pengubahsuaian, menjadikannya satu tarikan istimewa kepada para pelanggan di samping dekorasi vintaj seolah-olah berada pada era 1950-an.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN