fbpx

Bekalan makanan sukar diperoleh tahun depan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Petani menuai gandum menggunakan jentera di sebuah ladang di wilayah Chernihiv, Ukraine, pada 5 Julai 2019. - AFP

TOKYO – Pengarah Eksekutif Program Makanan Sedunia (WFP), David Beasley memberi amaran bahawa bekalan makanan berkemungkinan lebih sukar untuk diperoleh menjelang tahun depan ekoran pelbagai krisis seluruh dunia yang berlaku serentak, lapor Badan Penyiaran Jepun (NHK), kelmarin.

Beasley berkata, dunia kini diselubungi situasi yang digambarkan sebagai konflik ‘ribut lengkap’ yang terdiri daripada kejutan iklim, perang Russia-Ukraine dan kemusnahan ekonomi selama dua tahun akibat Covid-19.

Beliau menegaskan bahawa Ukraine yang digelar ‘bakul roti dunia’ telah berhenti membekalkan makanan.

Tindakan tersebut menimbulkan beberapa masalah tertentu yang diburukkan lagi dengan lonjakan kos bahan api dan baja, lantas mewujudkan ‘ribut kemelesetan ekonomi yang lengkap’.

“WFP berdepan kesukaran menetapkan harga makanan utama, yang telah menimbulkan cabaran buat golongan miskin.

“Menjelang tahun hadapan, disebabkan kemarau dan krisis baja, kita mungkin berdepan dengan masalah ketersediaan makanan yang lebih dahsyat,” ujar Beasley.

WFP sebelum ini memberi amaran bahawa sehingga 345 juta penduduk dunia diramal berada dalam keadaan ekonomi yang sangat teruk untuk mendapatkan bekalan makanan atau berisiko tinggi, merentasi 82 negara.

Tambahnya, kegagalan para pemimpin dunia dalam mencari jalan penyelesaian untuk membuka pelabuhan di wilayah Odesa, Ukraine dilihat sebagai pengisytiharan perang terhadap keselamatan makanan.

Namun begitu, Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Turki, Ukraine dan Russia sedang menjalankan rundingan dalam usaha untuk membolehkan makanan dieksport semula.

Setakat ini, sebanyak 26 negara telah pun mengharamkan eksport makanan bagi menjamin bekalan yang mencukupi bagi pasaran domestik. 

“Jika rantaian bekalan makanan terganggu akibat keadaan panik dalam pasaran, orang ramai akan menghadapi kesukaran untuk mendapatkan makanan.

“Ia akan menjejaskan semua penduduk dunia, dan tidak terhad kepada golongan miskin semata-mata,” tegas Beasley. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI