fbpx

Shinzo Abe selamat disemadikan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Orang ramai berkumpul ketika kereta jenazah yang membawa mayat bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe meninggalkan tokong Zojoji di Tokyo baru-baru ini.-AFP

TOKYO – Jasad bekas Perdana Menteri Jepun, Shinzo Abe disemadikan dalam satu majlis tertutup di Tokyo semalam, lapor portal berita MailOnline.

Rakan dan keluarga mendiang berkumpul di dalam tokong Zojoji, sebuah mercu tanda bersejarah dan budaya yang menempatkan mayat jeneral-jeneral dari zaman Edo.

Balu mantan Perdana Menteri itu, Akie Abe, 60, berada di tempat duduk hadapan kenderaan yang membawa mayat suaminya ketika melepasi orang ramai yang berkabung dan memenuhi jalan di luar tokong.

Orang ramai menggunakan telefon bimbit untuk merakam detik itu di samping sebilangan daripada mereka berdoa, menundukkan kepala atau menitiskan air mata sebagai tanda penghormatan kepada mendiang.

Abe dibawa dari tokong melalui bandar ke Dewan Pengebumian Kirigaya di mana mayatnya akan dibakar mengikut tradisi Buddha.

Sepanjang perjalanan, jasad Abe dibawa melalui Parlimen, Pejabat Perdana Menteri dan ibu pejabat Parti Dimokratik Liberal agar rakan sekerja mendiang boleh memberi penghormatan.

Shinzo Abe yang berkhidmat sebagai Perdana Menteri Jepun antara 2006 hingga 2007 dan sekali lagi dari 2012 hingga 2022 terbunuh minggu lalu semasa berkempen di bandar Nara selepas ditembak oleh seorang lelaki menggunakan senapang patah buatan sendiri.

Tetsuya Yamagami, 41, mengaku membunuh ahli politik itu dan menyasarkan mangsa kerana percaya bahawa Abe terlibat dalam sebuah organisasi keagamaan yang telah menyebabkan perniagaan milik keluarganya jatuh muflis. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI