fbpx

Suhu melampau pencetus kebakaran hutan di Portugal

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang anggota bomba cuba memadamkan api di sebuah kawasan hutan di Alvaiazere, kelmarin. – AFP

LISBON, PORTUGAL – Bencana kebakaran hutan di Portugal mengakibatkan 29 orang cedera ketika suhu di beberapa bahagian di negara itu diramal mence­cah 45 darjah Celsius bermula hari ini, lapor stesen penyiaran Sky News.

Pada Sabtu lalu, negara Eropah itu merekodkan seba­nyak 125 kebakaran hutan  yang merupakan angka kebakaran harian tertinggi sepanjang tahun ini, manakala kira-kira  1,500 anggota bomba bertungkus-lumus memadamkan api yang marak.

Keadaan itu memaksa kerajaan Portugal mengisytiharkan situasi berjaga-jaga di seluruh negara bermula semalam hingga Jumaat ini.

Cuaca pada minggu ini turut mencetuskan kebimbangan disebabkan oleh suhu ekstrem.  Agensi cuaca kaji cuaca Portugal meramalkan suhu dijangka mencecah 45 darjah Celsius di Alentejo iaitu wilayah yang terletak di antara Lisbon dan Algarve.

Beberapa bahagian lain di negara itu diramal mencatat suhu antara 30 darjah Celsius hingga lebih 40 darjah Celsius.

Agensi kaji cuaca menyatakan, kelajuan angin pula dijangka mencapai 64.3 kilometer sejam di beberapa wilayah.

Meskipun penduduk di beberapa buah kampung di Portugal telah diarah untuk berpindah pada Sabtu lalu, hanya sebahagian kecil kediaman musnah atau rosak.

Perdana Menteri,  Antonio Costa menerusi kenyataan di laman Twitter menggesa orang awam agar mengelak daripada menggunakan jentera berat atau menghidupkan api ekoran   risiko kebakaran.

Sementara itu, kebanyakan kawasan di barat dan selatan Eropah Barat mengalami suhu tinggi luar biasa pada  musim panas kali ini, dengan kebakaran hutan turut berlaku di Perancis dan Sepanyol.

Sayap eksekutif Kesatuan Eropah, Suruhanjaya Eropah berkata, perubahan iklim global  menyebabkan benua itu me­ngalami tahun paling sukarnya disebabkan  bencana alam seperti musim kemarau dan kebakaran hutan. – Agensi 

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI