fbpx

Pulau Pinang minta kerajaan Pusat ambil tindakan segera lindungi Sungai Muda

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kesan banjir kilat di Baling, Kedah baru-baru ini dapat dilihat di Sungai Muda yang menjadi sumber air utama kepada penduduk Pulau Pinang.

GEORGE TOWN – Kerajaan Pusat perlu mengambil tindakan segera bagi mengurangkan risiko gangguan bekalan air berlaku melibatkan Sungai Muda sehingga menjejaskan perkhidmatan bekalan itu di negeri ini.

Ketua Menteri, Chow Kon Yeow berkata, lebih 80 peratus air mentah yang diabstrak setiap hari oleh Perbadanan Bekalan Air Pulau Pinang Sdn. Bhd. (PBAPP) datangnya dari Sungai Muda.

”Oleh itu, sebarang kejadian yang melibatkan Sungai Muda akan menjejaskan perkhidmatan bekalan air kira-kira 80 peratus daripada penduduk Pulau Pinang dan perniagaan yang berpusat di Pulau Pinang.

”Kesan banjir kilat di Baling, Kedah baru-baru ini telah membuktikan bahawa ini adalah fakta di mana pada 6 Julai lalu air banjir menyebabkan kekeruhan air mentah dari Sungai Muda tiba-tiba meningkat sehingga 3,000 Unit Kekeruhan Nephelometric (NTU),” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Kon Yeow yang juga Pengerusi PBAPP dan PBA Holdings Bhd berkata, kekeruhan air Sungai Muda terlalu tinggi sehingga memaksa PBAPP menghenti tugas Loji Rawatan Air (LRA) Sungai Dua.

”Penutupan LRA terbesar dan terpenting di Pulau Pinang menjejaskan perkhidmatan bekalan air di sini selama enam hari,”katanya.

Dalam pada itu, Kon Yeow berkata, untuk meminimumkan risiko berulang, kerajaan negeri dan PBAPP menyeru kerajaan Pusat untuk menubuhkan Lembaga Lembangan Ulu Muda” (UMBA) untuk memulihara, mengurus dan melindungi seluruh lembangan sungai Sungai Muda sebagai aset air Wilayah Ekonomi Koridor Utara (NCER).

”Sekiranya kerajaan Pusat serius untuk membangunkan NCER dengan betul, ini harus memberi tumpuan kepada mendapatkan sumber air terlebih dahulu.

”Kejadian dan masalah bekalan air tidak baik untuk perniagaan dan akan menyebabkan penderitaan berjuta-juta orang,”katanya.

Selain itu, Kon Yeow berkata, kegiatan pembalakan di Ulu Muda juga perlu dihentikan untuk mengurangkan risiko lebih banyak banjir kilat kerana penebangan hutan hujan juga akan menjejaskan prestasi Ulu Muda sebagai kawasan tadahan air terpenting di wilayah NCER.

”Kerajaan Pusat juga diharapkan tidak membenarkan Kedah daripada melaksanakan projek lapangan terbang Kulim dan cadangan perlombongan unsur nadir bumi (REE) di lembangan sungai Sungai Muda.

”Risiko pencemaran air, kontaminasi air dan pemendapan sungai tidak boleh diterima. Selain itu, projek lapangan terbang Kulim juga akan membuang berjuta-juta liter kumbahan ke anak sungai Sungai Muda setiap hari,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI