fbpx

Penyembelih haiwan bertauliah lancarkan urusan korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Ahli kariah Masjid Kariah Paroi Jaya, Seremban bergotong royong melaksanakan ibadat korban di masjid tersebut hari ini. /FOTO ZAKKINA WATI AHMAD TARMIZI.

SEREMBAN – Walaupun ibadat korban dijalankan setiap tahun dan diadakan secara bergotong royong, namun kehadiran penyembelih haiwan yang mahir dan berpengalaman amat ditagih.

Kemahiran dan ilmu yang ada pada mereka ini amat penting bagi melancar dan memudahkan urusan penyembelihan haiwan korban terutamanya apabila ia melibatkan jumlah yang besar.

Menyedari hal tersebut, Masjid Kariah Paroi Jaya di Taman Paroi Jaya di sini telah menghantar lima orang ahli kariah masjid tersebut untuk mendapatkan tauliah penyembelihan yang dikeluarkan Jabatan Hal Ehwal Agama Islam Negeri Sembilan (JHEAINS).

Pengerusi Masjid Kariah Paroi Jaya, Mohamad Fadzilah Zulkafly berkata, kesemua penyembelih berkenaan telah mengikuti Kursus Tauliah Penyembelihan oleh JHEAINS dan ia ternyata membantu dalam urusan korban termasuk bagi menguruskan penyembelihan 23 ekor lembu yang dijalankan hari ini.

“Lima ahli kariah ini termasuk golongan muda yang telah memenuhi syarat asas dan kriteria penyembelihan haiwan, antaranya adalah bertenaga dan mempunyai ilmu tentang penyembelihan.

“Alhamdullilah apabila mereka mempunyai tauliah, ia memberikan lebih keyakinan kepada kami selain telah memudahkan urusan korban pada hari ini,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis korban di Masjid Kariah Paroi Jaya hari ini.

Sementara itu, kata Mohamad Fadzilah, sebanyak 23 ekor lembu dengan anggaran berat 50 hingga 60 kilogram seekor dikorbankan bermula seawal pukul 8 pagi tadi.

“Sambutan ahli kariah untuk mengadakan korban pada tahun ini sangat mengalakkan, bagaimanapun kami terpaksa menghadkan kepada 23 ekor sahaja kerana khuatir tidak sempat untuk menyempurnakan kesemuanya pada hari ini,” katanya lagi. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI