KUALA LUMPUR – Ketika sebilangan warga Kota meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha di kampung halaman masing-masing, sebahagiannya pula mengambil kesempatan mengunjungi lokasi menarik di sekitar ibu negara.
Tinjauan Kosmo! mendapati, rata-rata orang ramai menggunakan peluang cuti untuk bersiar-siar ke tempat-tempat menarik bersama keluarga tersayang dengan ada antaranya memakai busana baju Melayu dan kurung.
Pengunjung dari Kedah, Idzham Abdul Harith, 33, berkata, dia bersama isteri dan dua anaknya mencipta kelainan pada tahun ini apabila mahu meraikan sambutan Hari Raya Aidiladha di Kuala Lumpur.
Mereka yang tiba kelmarin bermalam di rumah bapa saudara di Keramat.
“Saya dan isteri berasal dari Kedah serta bekerja di sana dan untuk sambutan kali ini, kami mengambil kesempatan meraikan di bandar. Kami bertolak semalam (kelmarin) pukul 11 pagi dan sampai pukul 3 petang tanpa kesesakan lalu lintas.
“Memang kami merancang untuk berhari raya di Kuala Lumpur sambil bawa dua anak jalan-jalan naik Transit Aliran Ringan (LRT) dan Transit Aliran Massa (MRT) di ibu kota. Kiranya kami ambil kesempatan datang ke bandar ketika keadaan tidak sesak kerana ramai pulang ke kampung,” katanya ketika ditemui semalam.

Sementara itu, bagi kakitangan swasta, Shahnaz Riza Mohd. Zubir, 45, kebiasaannya dia dan suami serta enam anak akan pulang ke kampung di Kedah.
Bagaimanapun disebabkan cuti yang pendek mereka memilih bersiar-siar di ibu kota.
“Tiga anak saya bersekolah asrama di Johor dan esok (hari ini) perlu pulang ke sana. Kalau balik kampung, nanti kena hadap kesesakan ditambah penat badan lagi, jadi kami ambil keputusan beraya di sini.
“Memang sedih tidak dapat beraya dengan ibu dan bapa namun tidak sanggup menghadap kesesakan.
“Selepas habis Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh dikatakan setiap minggu orang ramai pulang ke kampung,” jelasnya.
Dalam pada itu, seorang pelajar warga Yemen, Jamal Ahmad, 25, berkata, setiap kali sambutan hari raya, dia dan rakan-rakan akan meluangkan masa di tempat kunjungan pelancong memandangkan tidak dapat meraikan bersama keluarga.
“Sudah enam tahun saya tinggal di Malaysia dan sebelum ini, saya ada keluarga di sini. Ibu bapa dan adik beradik lain telah berpindah ke Turkiye dan sambutan hari raya saya hanyalah bersama rakan-rakan.
“Jika saya berada di Yemen, kami meraikan sama seperti umat Islam di Malaysia iaitu bersama-sama keluarga dan saudara-mara,” katanya yang juga penuntut sebuah kolej di Cyberjaya. -KOSMO! ONLINE














