fbpx

Pemilik syarikat pelancongan antara ditahan kes tipu jemaah haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
SEBAHAGIAN bakal jemaah yang terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) selepas gagal berlepas ke Tanah Suci untuk menunaikan ibadah haji. – GAMBAR IHSAN PEMBACA

PETALING JAYA – Polis mengesahkan penahanan lima individu yang disyaki terlibat dalam kes bakal jemaah haji Malaysia yang dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Superintendan Ashari Abu Samah ketika dihubungi Kosmo! berkata, pihaknya mengesahkan penahan dua lelaki dan tiga wanita yang disyaki terlibat dalam kes yang disiasat.

“Kita telah menahan kelima-lima suspek pada malam semalam membabitkan dua lelaki dan tiga wanita berusia dalam lingkungan 30 hingga 50-an.

“Kes ini akan disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu dan sehingga kini terdapat 23 laporan polis telah dilakukan di sekitar ibu negara,” katanya di sini hari ini.

Mengulas lanjut, mereka yang ditahan terdiri daripada pemilik syarikat pelancongan terbabit, ejen dan dua pekerja di syarikat tersebut.

Terdahulu, Kosmo! melaporkan, hasrat lebih 380 jemaah haji untuk menunaikan Rukun Islam kelima di Tanah Suci dilihat tidak kesampaian apabila mereka terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) berikutan dipercayai menjadi mangsa penipuan sebuah agensi pelancongan.

Difahamkan, kesemua bakal jemaah itu yang datang daripada seluruh negara termasuk Sabah dan Sarawak gagal berlepas ke Tanah Suci selepas tidak mempunyai dokumen perjalanan lengkap seperti visa dan pasport.

Kesemua mereka yang berkumpul di Aras 5 Balai pelepasan KLIA dipercayai menggunakan visa furada untuk menunaikan ibadah itu dan tidak melalui Tabung Haji (TH).

Difahamkan, sebahagian jemaah telah membuat laporan polis berhubung kejadian itu dan sedang menantikan tindakan seterusnya daripada pihak berkuasa. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI