KESELAMATAN pekerja di tapak binaan perlu sentiasa menjadi keutamaan bagi mengelak berlaku sebarang kemalangan memandangkan ia antara lokasi kerja paling berisiko tinggi.
Namun, kemunculan kecerdasan buatan (AI) telah mewujudkan cara baharu dalam memastikan tahap keselamatan pekerja binaan sentiasa terjamin.
Bukan sahaja dapat membuat pemantauan, malah teknologi itu mampu melakukan simulasi dan analisis risiko yang berkemungkinan berlaku secara menyeluruh.
Memetik laporan MIT Technology Review, penyelidik, jurutera dan firma pembinaan utama di Amerika Syarikat ketika ini sedang giat melakukan ujian terhadap penggunaan AI generatif.
Kaedah itu bukan sahaja sesuai dengan teknologi semasa, malah dapat meramal dan mencegah kemalangan di tapak binaan menggunakan sistem pemetaan digital, pemodelan situasi dan pemantauan masa nyata.
Bagi merealisasikan usaha tersebut, gabungan kamera dan dron telah diangkat sebagai ‘pengurus keselamatan maya’ di tapak binaan.
Pendekatan melibatkan pemasangan kamera dan penggunaan dron di seluruh tapak pembinaan itu mampu merakam aktiviti kerja secara harian serta menganalisis pergerakan pekerja.
Selain pergerakan fizikal manusia, sistem AI itu juga dapat mengenal pasti kedudukan jentera atau sebarang perubahan pada struktur binaan yang boleh menimbulkan risiko. Teknologi itu secara tidak langsung dapat mengelak berlaku sebarang kesilapan saat proses pembinaan dijalankan.
Menurut penyelidik utama daripada University of Florida, Amerika Syarikat (AS), Dr. Sasan Tavakkoli, pendekatan itu membawa kepada revolusi besar terhadap perancangan dan reka bentuk tapak pembinaan masa kini.
“Bertindak sebagai ketua projek AI keselamatan, kewujudan teknologi itu membolehkan proses pembinaan berjalan lebih lancar tanpa kesilapan pembinaan, keselamatan pekerja terjamin, selain memastikan kebersihan tapak binaan.
“Sebelum kerja dijalankan, kami boleh simulasikan aliran kerja pekerja dan pergerakan mesin. “Teknologi AI ini juga dapat mengenal pasti kesilapan binaan dan mencadangkan pembaikan reka bentuk dengan segera,” ujarnya.
MENERUSI teknologi itu, AI juga dapat mengesan kemungkinan pekerja terlalu dekat dengan zon bahaya atau terdapat titik buta yang tidak dapat dilihat dengan mata.
Sementara itu, firma pembinaan seperti Skanska USA secara agresif telah melakukan ujian terhadap sistem pemantauan AI yang menggabungkan imej video daripada kamera keselamatan dan dron udara bagi memberikan gambaran holistik tentang aktiviti di lokasi.
“AI generatif yang digunakan akan mengumpul maklumat dan membina pemodelan maya (digital twin), sebelum membuat simulasi kemungkinan insiden di tapak binaan.
“Teknologi ini juga akan mencadangkan pengubahsuaian susun atur atau prosedur kerja secara automatik.

“Berbeza dengan pendekatan reaktif tradisional seperti penguatkuasaan atau audit berkala, AI generatif bersifat proaktif serta berterusan.
“Teknologi ini menganalisis bukan sahaja data semasa, malah corak kerja, insiden terdahulu dan rekod kesihatan pekerja.
“Analisis ini bagi mengesan perubahan tingkah laku pekerja yang disebabkan kepenatan sehingga mendatangkan risiko kecelakaan,” ujar jurucakap Skanska USA.
Menariknya, teknologi AI itu juga boleh mengenal pasti pekerja berdiri terlalu lama di kawasan tertentu dan jentera berat yang berada berhampiran kawasan berbahaya.
Apabila situasi itu berlaku, sistem AI tersebut boleh memberi amaran awal sebelum kemalangan berlaku.
Sebelum ini, pendekatan tersebut sangat sukar dan hampir mustahil untuk dilakukan oleh manusia.
Selain itu, pemasangan kamera dan dron pemantau membolehkan pengurus projek memantau kepatuhan keselamatan tanpa perlu berada di tapak binaan secara fizikal.
Langkah itu akan mempercepatkan proses tindakan diambil jika terdapat sebarang pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) di tapak binaan.
Memetik perkongsian DroneDeploy, dron juga digunakan untuk merekod dan menganalisis keadaan sebenar tapak binaan sebelum kerja pembinaan dimulakan.
Cara itu bukan sahaja mempercepatkan proses dokumentasi, malah meningkatkan ketepatan dan kefahaman pasukan projek terhadap persekitaran sebenar.
Katanya lagi, syarikat pembinaan juga boleh merakam, memeta dan menilai secara digital keadaan fizikal tapak binaan dengan menyeluruh menerusi kaedah dipanggil existing conditions capture.
“Dron yang dilengkapi dengan generatif AI akan diterbangkan secara automatik mengikut laluan bagi merakam gambar dari pelbagai sudut.
“Data yang dirakam akan diproses dalam sistem awan (cloud) untuk menghasilkan peta digital beresolusi tinggi, model tiga dimensi (3D) dan visual realiti maya (VR).
“Setelah mengenal pasti peta tapak binaan, posisi meletakkan kamera pemantauan akan dikenal pasti supaya syarikat pembinaan dapat memperolehi visual diinginkan,” ujarnya.
Biarpun teknologi AI mampu memberikan impak positif, namun penggunaan kamera di tapak pembinaan dikhuatiri boleh mengganggu privasi pekerja. Hal itu disuarakan oleh beberapa kesatuan buruh di AS yang meluahkan kebimbangan terhadap pemantauan berlebihan yang boleh disalah guna pihak pengurusan.
Situasi berkenaan boleh menyebabkan pekerja berasa tertekan akibat masalah pengurusan mikro atau micromanagement.
Menurut jurucakap kesatuan buruh di AS, kehadiran kamera pengawasan boleh mengumpul data pergerakan pekerja secara berterusan.
Jelasnya, keadaan itu boleh menyebabkan para pekerja berasa sentiasa diawasi sehingga memberi kesan kepada kesejahteraan mental mereka.
“Kesatuan tidak menolak penggunaan teknologi ini. Namun, kami menggesa supaya penggunaannya perlu ada garis panduan privasi, pengawasan seimbang serta ketulusan.
“Pengawasan yang keterlaluan akan menyebabkan tekanan psikologi kepada pekerja. Jadi, teknologi ini perlu digunakan sebaik mungkin bagi melindungi hak pekerja tanpa menjejaskan keselamatan mereka di tapak binaan,” ujarnya.














