fbpx
IBADAH korban disyariatkan kepada individu, bukannya pihak lain dengan menggunakan harta awam. – gambar hiasan

Tak boleh guna harta awam buat ibadah korban

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Bolehkah mengambil wang persatuan atau tabung masjid atau peruntukan kerajaan untuk dibeli lembu dan dijadikan korban di musim hari raya korban. Walaupun wang tersebut bukan tujuan asalnya korban, tetapi pihak pengurusan ingin kemeriahan korban itu dibuat pihak mereka? Sahkah korban itu?

Jawapan:
Pensyariatan ibadah korban adalah ditujukan ke atas individu.

Hukumnya adalah sunat yang dituntut bagi sesiapa yang memiliki kemampuan melakukannya. Mereka yang tidak berkemampuan, tidak perlu bimbang dengan hal ini.

Ibadah korban tidak terlaksana daripada haiwan korban yang berupa harta kerajaan, institusi tertentu, badan-badan korporat atau tabung orang ramai dan seumpamanya, melainkan jika haiwan korban itu daripada wang pihak yang memang berniat untuk dijadikan korban semasa dia menyumbang.

Adapun mengambil harta awam atau pihak lain yang tidak dikhususkan untuk ibadah korban, maka itu menyalahi pensyariatan.

Maka, tidak boleh jika pihak yang mengambil wang persatuan atau masjid, atau kerajaan atau mana-mana wang orang ramai untuk membeli binatang korban, padahal wang itu bukan milik mereka dan bukan tujuan asalnya dikumpulkan untuk melakukan korban.

Jika wang yang terkumpul itu memang untuk tujuan korban, maka seekor unta atau lembu hanya dikongsi seramai tujuh orang sahaja, sementara kambing untuk seorang.

Ya, benar! Hal ini juga berlaku kadangkala apabila terdapat pimpinan persatuan, ataupun ahli jawatankuasa (AJK) masjid ingin bersaing melakukan korban pada musim ini, sedangkan mereka tidak mampu atau tidak mahu menggunakan wang individu.

Demikian juga kadangkala apabila pemegang jawatan dalam kerajaan mengambil kesempatan politik memberikan kepada masjid ataupun masyarakat haiwan atau wang untuk korban untuk mengambil hati pengundi ataupun rakyat.

Padahal, wang tersebut bukan milik peribadi beliau, sebaliknya peruntukan kerajaan untuk urusan-urusan bantuan lain.

Ini semua bukanlah korban yang diterima. Sebaliknya, mana-mana pihak pengurusan wang atau harta pihak lain yang mengambil wang tersebut untuk bukan tujuan asalnya, maka itu merupakan satu pengkhianatan.

Adapun ulil amri (pemerintah) boleh melakukan korban dengan belanja hartanya untuk dirinya dan untuk rakyat di bawah pemerintahannya atau dikhususkan untuk rakyat yang tidak melakukan ibadah korban.
Nabi SAW yang pernah menyembelih korban untuk baginda, ahli keluarga dan umat baginda.

Ini seperti dalam hadis daripada Jabir bin ‘Abd Allah, beliau berkata: “Aku menyaksikan perlaksanaan korban bersama Rasulullah SAW di musolla (lapangan solat hari raya). Apabila baginda selesai khutbah, baginda turun dari mimbar, lalu dibawa kepada baginda seekor biri-biri. Maka, baginda menyembelihnya dengan tangan baginda dengan menyebut: “Dengan nama Allah, Allah Maha Besar. Ini daripadaku dan daripada sesiapa yang tidak melakukan korban dari kalangan umatku”. (Riwayat Abu Daud, al-Tirmizi, Ibn Majah dll -sahih-)

Sementara itu, dalam kalangan fuqaha khususnya dalam Mazhab al-Syafii ada yang menyebut, khalifah boleh menggunakan peruntukan dari Baitul Mal bagi melakukan korban untuk rakyatnya. Pendapat ini disebutkan oleh al-Imam al-Mawardi (meninggal 450H) dalam kitabnya al-Hawi al-Kabir (lihat: 15/125. Beirut: Dar al-Kutub al-‘Ilmiyyah).

Al-Imam al-Nawawi (meninggal 676H) dalam kitabnya al-Majmu’, ketika memetik pendapat ini menyata: “Al-Mawardi telah menyebut bahawa digalakkan untuk imam (khalifah) melakukan korban untuk seluruh kaum Muslimin daripada (peruntukan) Baitul Mal dengan seekor unta di tempat solat (lapangan solat hari raya). Jika tiada keupayaan, maka seekor kambing. Dia (khalifah) melakukan sendiri sembelihan tersebut. Jika dia melakukan korban dengan daripada hartanya sendiri, maka dia boleh melakukan di mana sahaja yang dia suka. Ini perkataan beliau (al-Mawardi)” (8/425. Beirut: Dar al-Fikr).

Kata al-Damiri (meninggal 808H) dalam Syarh al-Minhaj: “Tidak boleh melakukan korban untuk orang lain tanpa izinnya. Ini kerana ia merupakan ibadah. Syarak tidak mengizinkan untuk dilakukan bagi pihak orang lain.

Namun, dikecualikan dari hal tersebut untuk imam (khalifah). Dia (khalifah) boleh melakukan korban untuk kaum Muslimin dari (peruntukan) Baitul Mal (9/522. Jeddah: Dar al-Minhaj).

Pun begitu, jika ulul amri mengambil harta awam untuk korban hendaklah dengan penuh penelitian tanpa pembaziran dan salah tujuan. Wajib dimaklumkan kepada rakyat bahawa itu harta Baitul Mal supaya tidak disalahgunakan untuk kepentingan diri.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN