fbpx
Zahidi (tengah) bergambar bersama barisan pelakon pada Majlis Pelancaran Supertele Penanggal Mak Kiah di Lanai Asmara di sini, hari ini. - Foto FAISOL MUSTAFA

Zahidi tegur kerajaan negeri kenakan duti hiburan melampau

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA – Kerajaan negeri yang mengenakan duti hiburan tinggi ke atas setiap tayangan filem di pawagam disaran mempertimbangkan untuk menurunkan semula kadar berkenaan.

Teguran itu disuarakan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Zahidi Zainul Abidin ekoran rungutan penggiat filem tempatan ke atas isu cukai tersebut dianggap membebankan.

“Saya berterima kasih kepada masyarakat yang prihatin terhadap isu ini tetapi perkara itu di bawah pihak berkuasa tempatan (PBT) yang dikawal kerajaan negeri.

“Justeru, kita rayu mereka jangan tekan sampai ada yang mencecah 25 peratus kerana akan membantutkan industri kandungan kreatif domestik,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Ketika ini, duti itu dikenakan 20 sehingga 25 peratus daripada jualan tiket di pawagam iaitu kadar tertinggi di dunia kecuali Sabah yang tidak pernah melaksanakan cukai tersebut.

Berita berkaitan: Kaji semula cukai hiburan, bayaran panggung wayang

Berita berkaitan: Karya pecah panggung, belum tentu penerbit kaya

Mengulas lanjut, Zahidi memberitahu, beliau pada dasarnya bersetuju cukai itu diturunkan mungkin kepada cuma 10 peratus sebagai pendapatan PBT kerana dianggap masih agak munasabah.

“Saya sarankan pihak persatuan filem buat perbincangan dengan pihak kerajaan negeri kerana duti ini bukan sahaja pawagam, bahkan busker (penghibur jalanan) pun kena juga,” katanya kesal.

Pihak operator pawagam jelasnya, ada rasional tersendiri kenapa kadar tinggi dilaksanakan tetapi isu berkenaan sebenarnya boleh dirunding dengan baik dalam situasi menang-menang.

Sehubungan itu, Zahidi meminta pengusaha premis berkenaan agar dapat lebih bertimbang rasa dan bukan hanya memikirkan isu keuntungan jangka pendek kerana rakyat kini ada pelbagai medium hiburan. – KOSMO! ONLINE

 

POPULAR