fbpx

Padah langgar hakcipta, jual barang tiruan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahkamah Sesyen Shah Alam.

SHAH ALAM – Sebuah syarikat pembuatan acuan plastik didenda RM24,000 oleh Mahkamah Sesyen hari ini atas tuduhan melanggar hak cipta perisian karya sastera dalam bentuk program-program komputer, tujuh tahun lalu.

Hakim Rasyihah Ghazali menjatuhkan hukuman itu terhadap SMT Industries Sdn. Bhd selaku Orang Kena Saman (OKS) diwakili salah seorang pengarah syarikatnya, Lee Kum Seng, 53, yang mengaku bersalah selepas pertuduhan dibacakan kepadanya.

Mengikut pertuduhan, syarikat itu didakwa didapati memiliki empat perisian salinan langgaran karya yang telah melanggar hak cipta sebuah perbadanan di California, Amerika Syarikat.

Kesalahan itu dilakukan di syarikat tersebut di Taman Perindustrian Puchong Utama dekat sini kira-kira pukul 2 petang pada 28 Julai 2015.

Sabit kesalahan boleh dihukum penjara sehingga lima tahun dan denda tidak kurang daripada RM2,000 dan tidak melebihi RM20,000 atau kedua-duanya mengikut Seksyen 41 (1) (d) Akta Hakcipta 1987 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 41 (1) (i) akta yang sama.

Sementara itu, dalam mahkamah yang sama, seorang penjual pakaian, Tee Sook Leng,40, didenda RM4,080 selepas mengaku bersalah memiliki dan menjual 51 unit barangan tiruan meliputi 47 baju dan empat tali pinggang jenama Burberry.

Perbuatan Sook Leng yang juga OKS dilakukan di premisnya di daerah ini kira-kira pukul 12 tengah hari pada 22 April tahun lalu.

Kesalahan dilakukan mengikut Seksyen 102 (1)(c) Akta Cap Dagangan 2019 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 102(1)(ii) akta sama.

Sabit kesalahan boleh didenda tidak melebihi RM10,000 bagi setiap barangan dipakaikan cap dagangan berdaftar atau dipenjarakan sehingga tiga tahun atau kedua-duanya bagi mereka yang bukan satu pertubuhan perbadanan.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Mohd. Haniff Md. Alimuddin manakala kedua-dua OKS tidak diwakili peguam. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI