fbpx

Nelydia Senrose, suami berangkat ke Mekah tunai haji

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
NELYDIA dan suaminya, Hafiz berangkat ke Tanah Suci bagi mengerjakan ibadah haji hari ini.

PETALING JAYA – Selepas menjadi tumpuan berhijab sekembalinya dari menunaikan umrah dan kontroversi buka tudung di Bali, pelakon Nelydia Senrose dijemput menjadi tetamu Allah untuk menunaikan ibadah haji.

Nelydia yang berangkat Mekah bersama suaminya, Mohd. Hafez Halimi pada hari ini menyifatkan panggilan haji yang diterimanya adalah anugerah terindah buat mereka.

“Saya dan suami dengan penuh rasa kesyukuran, gembira dan tawaduk atas kebesaran Pencipta yang Maha Pengasih dan Mengasihani yang mengizinkan kami menjadi tetamu Allah bagi menunaikan haji.

“Ini adalah anugerah Allah yang maha agung buat kami berdua. Segala yang saya hajatkan. Semua yang saya impikan.

“Apa yang saya bayangkan, tidak akan terlawan dengan anugerah dari-Nya ini, yang tidak akan mungkin saya dustakan sehingga ke akhir hayat,” tulisnya dalam Instagram sebentar tadi.

Sehubungan itu, Nelydia atau nama sebenarnya Nik Zaris Nelydia Nik Sen, 28, dengan penuh rasa rendah diri memohon kemaafan kepada semua yang mengenali dirinya.

“Saya dengan penuh rasa kerdil dan rendah diri ingin memohon seribu kemafaan kepada semua yang mengenali saya.

“Segala salah dan silap, terkasar bahasa yang disedari mahupun tanpa sengaja, terlepas pandang selama ini. Halalkan makan minum kami,” tulis Nelydia.

Pelakon drama Khilaf Asmara itu memohon doa orang ramai agar perjalanan dan urusannya untuk menunaikan haji dipermudahkan.

“Saya mohon dapat dititipkan doa buat saya dan suami agar selamat pergi dan balik. Dipermudahkan segala urusan dengan izin-Nya mendapat haji mabrur,” tulisnya yang turut berkongsi gambar di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur sebelum berlepas ke Mekah.

Terdahulu Nelydia menarik perhatian apabila mengenakan hijab sekembalinya dari menunaikan umrah pada Disember tahun lalu.

Nelydia bagaimanapun membikin kejutan apabila membuka tudung ketika bercuti di Bali, Indonesia bersama keluarganya pada Jun lepas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI