SERING berlaku pasangan yang berkahwin atas kehendak keluarga berasa tidak bahagia kerana terpaksa melakukannya bagi menjaga perasaan kedua-dua ibu bapa.
Itu yang berlaku ke atas Afiq (bukan nama sebenar) yang mana perkahwinannya dengan isteri diatur keluarga.
Menurut Afiq, ibu bapanya dan isteri merupakan kawan baik dan memang sudah lama merancang untuk menyatukan mereka berdua.
Katanya, kerana ingin menjaga hati mereka, dia akhirnya bersetuju dengan perkara itu.
“Saya rasa isteri pun demikian juga, terpaksa bersetuju dengan cadangan itu.
“Sebagai anak, kami berdua mengalah dan mengikuti kemahuan mereka,” katanya.
Afiq memberitahu, sebelum berkahwin, dia ada menjalinkan hubungan cinta dengan wanita lain.
Namun hubungan mereka terputus kerana wanita itu menemui pengganti lain.
“Dia adalah cinta pertama saya. Disebabkan rasa kecewa, saya akhirnya, bersetuju untuk disatukan dengan gadis pilihan ibu bapa saya,” jelasnya.
Ceritanya, sebelum berkahwin dia sempat bertemu gadis pilihan keluarganya itu beberapa kali sahaja.
Malah ketika bertemu, mereka lebih banyak mendiamkan diri dan hanya berbicara hal-hal penting tentang perkahwinan.
Setelah berkahwin, dia dan isteri tinggal berasingan daripada keluarga.
“Saya cuba untuk mencintai isteri, tetapi rasa sayang kepada bekas kekasih masih menebal.
“Saya juga dapat rasakan isteri juga mempunyai perasaan sama iaitu tidak menaruh perasaan terhadap saya,”ujarnya lagi.
Disebabkan itu, mereka berdua sering tidur di bilik berasingan.

DISEBABKAN tiada keserasian, perkahwinan antara Afiq dan isteri terlerai jua. –GAMBAR HIASAN
Afiq berasakan perkahwinan mereka hambar sekali dan tidak membahagiakan kerana masing-masing tidak mencintai antara satu sama lain.
Setelah empat bulan berlalu, bekas kekasih Afiq kembali menghubunginya dan ingin bersamanya semula.
Dia beberapa kali bertemu dengan bekas kekasihnya itu dan akhirnya mereka mengambil keputusan untuk menjalinkan hubungan semula.
Bagi meleraikan kemelut yang menyelubungi rumah tangganya, Afiq nekad berbincang dari hati ke hati dengan isterinya sama ada masih mahu meneruskan perkahwinanm itu.
“Saya menyatakan kepadanya bahawa saya tidak mencintainya dan telah kembali menjalinkan hubungan dengan bekas kekasih,” katanya.
Buat pertama kali, isterinya mengaku cuba untuk memberikan hatinya kepada Afiq selepas mereka berkahwin, tetapi gagal.
Ini kerana, sebelum mereka berkahwin, isterinya berkawan dengan seorang rakan sekerja dan ada menaruh perasaan kepada jejaka tersebut.
Setelah berumah tangga, isterinya masih berkawan dengan lelaki tersebut dan baru mengetahui jejaka itu juga mempunyai perasaan yang sama terhadapnya.
“Setelah berbincang, kami memutuskan untuk berpisah dengan cara baik dan mencari kebahagian masing-masing.
“Sekurang-kurangnya kami telah menurut permintaan kedua-dua orang tua untuk melihat kami tinggal bersama,” jelas Afiq.
Akhirnya mereka berdua berpisah dengan cara baik.
Afiq dan isteri kemberi alasan kepada kedua-dua ibu bapa masing-masing, bahawa tiada keserasian antara mereka menjadi punca memilih untuk mengakhiri perkahwinan itu.














