fbpx
Pemain beregu lelaki Malaysia, Aaron Chia dan Wooi Yik meraikan kemenangan selepas menewaskan pemain Indonesia, Mohammad Ahsan dan Hendra Setiawan pada perlawanan suku akhir Kejohanan Petronas Terbuka Malaysia 2022 malam ini. /FOTO FARIZ RUSADIO

Aaron, Wooi Yik selangkah ke pentas final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KUALA LUMPUR – Beregu lelaki No.1 negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik meneruskan buruan kejuaraan pada Kejohanan Badminton Petronas Terbuka Malaysia apabila melangkah ke pusingan separuh akhir.

Pada aksi suku akhir yang berlangsung di Arena Axiata, Bukit Jalil sebentar tadi, gandingan No. 6 dunia itu mengenepikan cabaran beregu berpengalaman dari Indonesia, Mohammad Ahsan-Hendra Setiawan menerusi kemenangan 21-13, 20-22, 21-19.

Meskipun berdepan tentangan sengit daripada juara dunia tiga kali itu, terutamanya pada set ketiga, namun kelebihan beraksi di laman sendiri terus menjadi azimat buat Aaron-Wooi Yik untuk melakar kemenangan.

“Perlawanan hari ini sangat sengit dan memang sentiasa sukar apabila bertemu mereka. Mereka bermain lebih sabar di set ketiga tetapi kita ada kelebihan kerana mendapat sokongan peminat sendiri.

“Selain itu, kami juga fokus 100 peratus terhadap taktik serta strategi sendiri dan ia sangat membantu untuk mencatat kemenangan ke atas mereka,” kata Aaron sejurus tamat perlawanan.

Menanti Aaron-Wooi Yik di separuh akhir esok adalah juara dunia dari Jepun, Takuro Hoki-Yugo Kobayashi yang menewaskan wakil Korea Selatan, Choi Sol Gyu-Kim Won Ho 21-14, 21-23, 21-14.

“Memang rekod kami kurang baik bertemu mereka (Hoki-Kobayashi) tetapi itu hanyalah rekod. Setiap perlawanan adalah permulaan baru dan kami perlu fokus sekiranya mahu melangkah ke final,” ujarnya.

Sementara itu, nasib berbeza menimpa satu lagi beregu lelaki negara, Teo Ee Yi-Ong Yew Sin apabila tersingkir daripada kejohanan selepas tewas 13-21, 9-21 kepada Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto.-KOSMO! ONLINE

POPULAR