fbpx

Lima negeri rekod pertumbuhan KDNK tertinggi tahun 2021

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohd. Uzir menunjukkan kertas prestasi ekonomi mengikut negeri 2021 ketika sidang akhbar KDNK Mengikut Negeri bagi tahun 2021 di Jabatan Perangkawan, Putrajaya di sini, hari ini. - Foto FAIZ ALIF AHMAD ZUBIR

PUTRAJAYA – Lima negeri merekodkan prestasi Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) yang lebih baik berbanding pencapaian 3.1 peratus dicapai pada peringkat nasional.

Ketua Perangkawan Malaysia, Datuk Seri Dr. Mohd. Uzir Mahidin berkata, Pulau Pinang mengungguli prestasi KDNK tertinggi dengan 6.8 peratus diikuti Selangor (5.0 peratus), Terengganu (3.6 peratus), Perak (3.5 peratus) dan Kedah (3.2 peratus).

Beliau berkata, prestasi itu disokong pemulihan pada peringkat nasional dimana kesemua negeri mula menunjukkan pertumbuhan dan mulai pulih daripada krisis global Covid-19.

“Pemulihan itu juga kesan daripada Pelan Pemulihan Negara yang dilancarkan pada 15 Jun 2021 sebagai strategi peralihan untuk menangani krisis pandemik Covid-19.

“Impak pemulihan ini dapat dilihat apabila semua negeri termasuk dua Wilayah Persekutuan mencatatkan prestasi positif pada tahun 2021 berbanding kemerosotan pada 2020,” katanya pada sidang akhbar hari ini.

Ujar beliau, peneraju pertumbuhan utama bagi Selangor, Pulau Pinang dan Kedah adalah sektor pembuatan yang meningkat masing-masing 13.1 peratus, 12.4 peratus dan 6.2 peratus ia diikuti oleh Johor yang mencatatkan RM131.1 bilion dan kadar pertumbuhan sebanyak 2.4 peratus.

Menurutnya, senario pertumbuhan KDNK turut ditunjukkan Sarawak, Negeri Sembilan dan Melaka yang masing-masing bertumbuh 2.9 peratus, 3.0 peratus dan 2.0 peratus.

“Pertumbuhan ekonomi Kelantan (2.4 peratus) dan Perlis (1.5 peratus) pula dipacu oleh sektor perkhidmatan, khasnya perkhidmatan kerajaan yang menyumbang hampir 40 peratus kepada sektor ini di kedua-dua negeri,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd. Uzir berkata pertumbuhan ekonomi Sabah meningkat sederhana 1.1 peratus dipengaruhi oleh kejatuhan dalam sektor pembuatan dan pertanian.

“Selain itu, pemulihan ekonomi Kuala Lumpur dan Pahang juga sederhana apabila masing-masing mencatatkan pertumbuhan marginal 0.8 peratus dan 0.9 peratus disebabkan penurunan dalam sektor pelancongan.

“Bagaimanapun, prestasi industri pelancongan kedua-dua negeri ini dijangka akan bertambah baik pada 2022 selepas kebenaran rentas negeri dan pembukaan semula sempadan negara,” katanya.

Katanya, Labuan juga bertumbuh perlahan sekitar 0.5 peratus kesan dari aktiviti kewangan dan insurans, hartanah dan perkhidmatan perniagaan yang agak perlahan.

Jelas Mohd Uzir lagi, pembukaan semula semua sektor ekonomi serta sempadan negara telah meningkatkan permintaan bahan api di peringkat global yang akan memberi kelebihan kepada sektor pembuatan bagi negeri yang berorientasikan produk petroleum bertapis – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI