fbpx

Golongan muda AS tidak minat jadi askar

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
PELATIH marin di Stesen Pengambilan Kor Marin Fort Worth menjalani latihan di sebuah kem di Texas pada 28 April 2021. - US Marine Corps / Sarjan Danielle Rodrigues

WASHINGTON – Jabatan Pertahanan Amerika Syarikat (AS) bergelut untuk mencari cara baharu bagi menggalakkan rakyat negara itu menyertai pasukan tentera disebabkan penurunan minat dalam kalangan golongan muda, lapor laman berita RT, kelmarin.

Golongan belia AS yang bersedia untuk menyertai pasukan tentera dilaporkan mencapai tahap terendah dalam tempoh 15 tahun.

Menurut tinjauan dalaman oleh Jabatan Pertahanan yang dilaporkan oleh saluran berita NBC, hanya sembilan peratus daripada warganegara yang layak berumur 17 hingga 24 tahun berhasrat untuk berkhidmat dalam angkatan tentera. 

Jumlah itu adalah yang terendah sejak 2007.

Kebimbangan ditambah lagi dengan penurunan jumlah rakyat AS yang layak menjadi tentera, iaitu berkurang daripada 29 peratus kepada 23 peratus dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

“Memandangkan jumlah tentera semakin mengecil dan orang awam semakin kurang memahami tugas mereka yang berpakaian seragam, krisis ini telah berkembang,” kata seorang pegawai kanan Pentagon.

Bilangan anggota yang layak telah berkurangan secara beransur-ansur disebabkan peningkatan jumlah individu yang hilang kelayakan kerana masalah obesiti, penggunaan dadah atau rekod jenayah.

Dalam pada itu, ramai orang muda AS percaya bahawa perkhidmatan ketenteraan bukan minat terbaik mereka.

Lebih separuh daripada golongan itu atau 57 peratus berkata, menyertai pasukan tentera akan mengakibatkan masalah emosi atau psikologi manakala bilangan yang sama menyatakan kebimbangan mengenai masalah fizikal.

“Mereka fikir akan terjejas secara fizikal atau emosi selepas berkhidmat,” kata seorang pegawai kanan lain. – Agensi

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI