fbpx

Bella takut, kurus ketika dirawat di hospital – Pegawai JKM

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Siti Bainun

KUALA LUMPUR – Seorang Penolong Pegawai Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) hari ini memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa keadaan remaja perempuan sindrom down yang dikenali sebagai Bella dalam keadaan takut dan kurus semasa remaja itu dirawat di Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada Julai tahun lalu.

Penolong Pegawai JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur (WPKL) Mohamad Imran Mohamed Zanyuin, 35, yang juga saksi pendakwaan ke-12 berkata, semasa melihat remaja itu pada 4 Julai 2021, Bella bukan sahaja dilihat tidak gembira malah berjalan dalam keadaan tunduk tanpa melihat sesiapa selain kedua-dua tangannya turut berbalut.

“Pada 4 julai 2021, saya ke HKL saya ada pergi lihat Bella secara fizikal dan saya nampak muka Bella berparut, keadaan kurus….Bella juga tidak senyum serta ketakutan,  berjalan dia tunduk tidak pandang orang lain dan kedua-dua tangannya berbalut,” kata saksi itu.

Saksi itu berkata demikian dalam pemeriksaan utama oleh Timbalan Pendakwa Raya Fazeedah Faik.

Menceritakan lanjut mengenai perkara itu, saksi itu berkata sebelum Bella dirawat di HKL, beliau telah menerima makluman melalui WhatsApp daripada Siti Bainun Ahd. Razali pada 24 Jun 2021 yang mengatakan Bella terkena air panas.

Dalam perbualan WhatsApp pukul 3.03 petang itu, Siti Bainun turut menyertakan beberapa keping gambar yang menunjukkan keadaan tangan dan bahagian kepala Bella yang dikatakan terkena air panas.

“Siti Bainun ada mengatakan dia telah ke hospital mengambil ubat spray kuning, saya ada katakan kenapa tidak bawa Bella sekali dan Siti Bainun menjawab, bimbang dikatakan ‘buat’ Bella,” kata saksi itu lagi.

Beliau kemudiannya bertanya kepada Siti Bainun bagaimana dengan keadaan Bella di rumah dan Siti Bainun hanya memaklumkan remaja itu dijaga oleh anak-anak di rumah itu.

Mengimbas kembali, saksi itu berkata dia pernah terserempak dengan Bella selepas dijaga Siti Bainun adalah pada Februari 2021 di Mahkamah Kuala Lumpur yang mana keadaan Bella ketika itu gembira selain turut memeluk Siti Bainun ketika itu.

Terdahulu saksi itu memberitahu, beliau tidak pernah bersetuju Bella diletakkan di bawah jagaan Siti Bainun kerana tidak mengenali secara peribadi dan tidak mengetahui latar belakang pengasas Rumah Bonda berkenaan.

Bagaimanapun saksi itu berkata, mahkamah telah membenarkan perintah jagaan sementara diberikan kepada Siti Bainun.

Perintah jagaan sementara itu bermula 14 Julai 2020 sehingga 20 September 2020 manakala hak penjagaan tetap bermula 24 September 2020.

Tambah saksi itu berdasarkan persetujuan asal, kanak-kanak itu  tidak sepatutnya ditempatkan di Rumah Bonda, sebaliknya di kediaman keluarga Siti Bainun yang  di Ampang.

Kata saksi itu, ia susulan beliau berpandangan kanak-kanak orang kurang upaya (OKU) itu perlu diawasi pihak lain selain Siti Bainun, serta sistem sokongan keluarga penting untuk memastikan keselamatan Bella sentiasa dipelihara.

Ujarnya, Bella sebelum ini ditempatkan di JKM di Taman Sinar Harapan Tuanku Ampuan Najihah Seremban, Negeri Sembilan sejak tahun 2011 sehingga 2020 sebelum Siti Bainun menjaga remaja itu.

Siti Bainun, Ahd. Razali ,30, menghadapi dua pertuduhan iaitu mengabai dan menganiaya remaja perempuan itu sehingga menyebabkan mangsa mengalami kecederaan fizikal serta emosi.

Dia dituduh melakukan perbuatan itu di sebuah kondominium di Wangsa Maju di sini antara Februari dan Jun 2021. Pertuduhan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 yang membawa hukuman maksimum penjara 20 tahun atau denda RM50,000 atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Perbicaraan di hadapan Hakim Izralizam Sanusi bersambung lagi petang ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI