fbpx

Skuad tinju sertai kejohanan di Thailand, persiapan akhir sebelum Sukan Komanwel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
MUHAMMAD Abdul Qaiyum Ariffin, (kiri) menjalani latihan selepas lawatan Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro ke kem latihan pasukan tinju negara ke Sukan Komanwel di Kompleks Sukan MSN Nilai dekat Seremban hari ini.

oleh NAZARUDIN SHAHARI

SEREMBAN – Pasukan tinju negara yang bakal menyahut cabaran di Sukan Komanwel Birmingham 2022 akan berlepas ke Thailand minggu depan bagi menyertai kejohanan di negara tersebut.

Timbalan Chef de Mission (CDM) ke Sukan Komanwel Birmingham 2022, Gerrard Clair Monteiro berkata, penyertaan dalam kejohanan itu adalah persiapan akhir pasukan berkenaan sebelum mengambil bahagian dalam Sukan Komanwel kali ini.

“Kejohanan di Thailand ini dianggap sebagai pemanas badan dan keputusan dari situ boleh memberi gambaran keupayaan skuad tinju negara yang akan dipamerkan dalam Sukan Komanwel kelak.

“Kami berharap dapat sampai ke peringkat separuh akhir dan memungut pingat di Birmingham nanti,” katanya kepada para pemberita selepas melawat kem latihan pasukan tinju ke Sukan Komanwel di Kompleks Sukan Majlis Sukan Negara (MSN) Nilai dekat sini hari ini.

Turut hadir, Setiausaha Kehormat Persekutuan Tinju Malaysia (PTM), Mohd. Shamsul Deran.

Dalam perkembangan berkaitan, Mohd. Shamsul berkata, seramai dua peninju masing-masing berusia 21 tahun bakal menggalas cabaran negara dalam acara 48 kilogram (kg) dan 51 kg.

“Tidak mustahil mereka akan membawa pulang pingat jika mempamerkan prestasi yang ditunjukkan dalam sesi latihan dan kejohanan yang disertai sepanjang persiapan untuk Sukan Komanwel,” katanya.

Sementara itu, salah seorang peninju terbabit, Muhammad Abdul Qaiyum Ariffin, 21, berkata, dia akan hadir bertanding di Sukan Komanwel kali ini bagi memberikan saingan terbaik kepada peninju lain sekali gus meraih pingat untuk negara.

Katanya, dirinya kini berada pada tahap 90 peratus bersedia selepas menamatkan aksi dalam Kejohanan Golden Glove di Perlis baru-baru ini.

“Saya akan menggunakan masa kira-kira sebulan sebelum Sukan Komanwel kali ini untuk mengemas kini dan memperbaiki skil serta teknik,” ujarnya.

Muhammad Abdul Qaiyum berkata, dia mendapat sokongan yang padu dari rakan-rakan peninju, jurulatih dan PTM untuk menunjukkan aksi terbaik walaupun ini adalah kali pertama dirinya mengambil bahagian dalam kejohanan yang besar seperti Sukan Komanwel. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI