fbpx

Pembuang saka terkenal ditahan kes berkhalwat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang pengasas pusat perubatan jarak jauh (tengah) dibawa ke IPD Alor Gajah, Melaka malam tadi sebelum diserahkan kepada JAIM untuk siasatan lanjut

ALOR GAJAH – Seorang pengasas pusat perubatan jarak jauh yang juga terkenal dengan perkhidmatan membuang saka dicekup kerana dipercayai berkhalwat di Masjid Tanah, di sini, malam tadi.

Warga emas berusia 60-an itu ditangkap sepasukan penguat kuasa Jabatan Agama Islam Melaka (JAIM) dalam serbuan di sebuah rumah teres pada pukul 11.30 malam.

Pengarah JAIM, Datuk Che Sukri Che Mat berkata, hasil aduan orang awam, serbuan telah dilakukan dan pemeriksaan di premis menjumpai sepasang lelaki serta wanita bersekedudukan tanpa dokumen sah pernikahan.

“Hasil soal siasat lelaki tersebut merupakan seorang pengasas pusat perubatan dari negara jiran.

“Kita dapati dia telah bersekedudukan dengan seorang janda anak seorang berusia 40-an yang didakwanya telah dinikahi sejak 2012, namun mereka gagal mengemukakan dokuman sah pernikahan itu,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita pada operasi cegah maksiat yang berakhir pada pukul 3.30 pagi tadi.

Katanya, susulan itu warga emas berkenaan ditahan dan dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 53 (1) dan (2) Enakmen Kesalahan Syariah (Negeri Melaka) 1991.

Dalam pada itu beliau berkata, pihaknya juga sedang memantau kaedah perubatan jarak jauh bagi membuang saka ditawarkan warga emas berkenaan.

“Kita sedang menunggu keputusan terakhir daripada pihak Jawatankuasa Fatwa dan jika kaedah rawatan digunakan itu disahkan bertentangan dengan ajaran Islam, maka perbuatan itu akan dihalang.

“Kita juga akan menasihatkan pengikutnya untuk tidak mendekati kaedah rawatan tersebut,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI