fbpx

Ganja tingkat penagihan dadah, kes bunuh diri – PBB

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota Agensi Narkotik Negara Indonesia membakar pokok ganja di Aceh pada 18 Mei 2022. – AFP

VIENNA, AUSTRIA – Laporan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) menyatakan bahawa kebenaran pengambilan ganja bukan untuk tujuan perubatan menjadi punca peningkatan ketara aktiviti penagihan dadah, lapor laman berita Wion News kelmarin.

Menurut laporan tahunan PBB bertajuk World Drug Report, pe­rintah berkurung Covid-19 turut mendorong kepada peningkatan pengambilan ganja secara rekreasi disebabkan orang ramai berasa bosan.

Sejak beberapa tahun lalu, sebilangan negeri di Amerika Syarikat (AS) dan sejumlah negara lain di dunia membenarkan penggunaan ganja secara rekreasi dan bukan untuk tujuan perubatan.

Pada 2012, negeri Washington dan Colorado telah memulakan trend tersebut diikuti Uruguay yang meluluskan penggunaan ganja pada 2013, seterusnya Kanada pada 2018. 

Laporan yang memberi tumpuan kepada tiga negara itu menyatakan, kebenaran undang-undang untuk mengambil ganja menjadi punca peningkatan ke­tara bagi penggunaan kerap bahan terlarang itu dalam kalangan orang dewasa.

Dianggarkan seramai 284 juta penduduk dunia berumur antara 15 tahun hingga 24 tahun mengambil dadah berat seperti heroin dan kokain dan ekstasi pada 2020, meningkat 26 peratus berbanding dekad sebelumnya, demikian menurut agensi berita Anadolu.

Ganja pula menjadi dadah yang paling banyak digunakan di seluruh dunia, melibatkan 209 juta individu pada 2020. 

“Kebenaran menggunakan ganja di sisi undang-undang mempercepatkan trend negatif peningkatan penggunaan dadah,” kata laporan tersebut.

Laporan sama turut mendedahkan bahawa terdapat peningkatan dalam bilangan individu yang maut akibat penyalahgunaan dadah pada 2020.

Pada 2019, seramai 494,000 individu maut akibat penyalahgunaan dadah dengan angka kematian akibat penggunaan dadah sintetik mencapai rekod tertinggi terutamanya di AS dan Kanada.

Pada masa sama, peratusan kes bunuh diri dalam kalangan individu yang menderita masalah mental dan mengambil ganja secara tetap didapati turut meningkat. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI