SEBERANG PERAI – Ibu saudara kepada kanak-kanak berusia 11 tahun yang ditemui lemas di pesisir Pantai Bersih, Butterworth di sini semalam meluahkan perasaan terkilan dan sedih apabila tidak sempat bersua muka dan makan bersama mangsa.
Mazura Mokhtar, 46 berkata, dia sepatutnya berjumpa dengan anak saudaranya, Muhammad Mikhaeil Muqmin Abdullah selepas mangsa selesai latihan rumah sukan kira-kira pukul 5 petang kelmarin.
Menurutnya, Muhammad Mikhaeil bagaimanapun dikatakan terus pulang dan pergi bermandi-manda di pantai berkenaan.
“Anak saya yang seusia dengannya memaklumkan yang arwah beritahu hendak mandi di laut.
“Saya mengambil anak dan terus membeli makan di sebuah restoran untuk dinikmati bersama di rumah adik dan berjumpa dengan anak saudara.
“Tidak sampai setengah jam iaitu kira-kira pukul 5.45 petang, saya terima panggilan daripada adik yang meminta saya balik kerana Mikheil lemas.
“Ketika sampai di tempat kejadian, saya tak nampak kelibat mangsa dan cuma mampu berdoa agar jasad dia ditemui,” katanya ketika ditemui pemberita di Hospital Seberang Jaya di sini semalam.
Jelas Mazura lagi, Muhammad Mikhaeil yang belajar di Sekolah Kebangsaan (SK) Bagan Ajam itu dijaga oleh adiknya.
“Mikhaeil budak yang tak banyak kerenah. Cikgu-cikgu dia pun beritahu otak anak saudara saya ini bijak. Walaupun anak saya sebaya dengan dia, saya selalu beritahu anak supaya ‘jadi’ macam Mikhaeil.
“Kami sekeluarga reda dengan kejadian yang berlaku dan percaya dengan ketentuan Allah,” jelasnya dalam nada sebak.
Terdahulu, jenazah Muhammad Mikhaeil dijumpai seorang nelayan, Mohd. Safrizal Mohd. Nor, 33, dalam keadaan tertiarap di kawasan berlumpur di persisiran pantai berkenaan kira-kira pukul 9.15 pagi semalam.
Media sebelum ini melaporkan, kegembiraan empat sahabat mandi-manda di Pantai Bersih berakhir tragedi apabila salah seorang daripada mereka dikhuatiri lemas akibat dibawa arus deras.
Bagaimanapun, tiga daripada mereka berjaya diselamatkan oleh orang awam yang berada di lokasi kejadian.














