fbpx

Geng Tiger ‘lumpuh’, suspek terakhir berjaya diberkas

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azmi (tiga kiri) menunjukkan senjata api jenis Colt M4 yang dirampas pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, hari ini.

KUALA LUMPUR – Polis berjaya menumpaskan Geng Tiger yang aktif melakukan kegiatan samun dengan penahanan seorang lagi lelaki yang disyaki saki baki kumpulan itu di Kampung Tumbok, Tanjung Sepat, Selangor kelmarin.

Penahanan suspek itu menjadikan keseluruhan 10 suspek yang ditangkap serta seorang suspek ditembak mati pada 18 Jun lalu.

Lelaki berusia 35 tahun itu diberkas oleh sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Jenayah Berat (D9), Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Kuala Lumpur dalam satu serbuan kira-kira pukul 9.30 malam.

Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Azmi Abu Kassim berkata, suspek yang bekerja sebagai peniaga sayur itu merupakan adik kepada penjenayah yang ditembak mati di sebuah kondominium di Taman Salak Selatan pada 18 Jun lalu.

“Semasa ditahan, suspek telah mendedahkan maklumat penyimpanan senjata api jenis M-4 bersama peluru.

“Sekitar pukul 11.20 malam, pasukan polis yang dipandu arah suspek telah ke sebuah reban ayam yang terletak di belakang sebuah rumah telah menunjukkan sebatang paip PVC yang mengandungi selaras senjata jenis Colt M4, dua kelopak dan 69 butir peluru jenis 5.56 mm,” ujarnya pada sidang akhbar di IPK Kuala Lumpur, dekat sini hari ini.

Menurut beliau, pihaknya percaya dengan penahanan suspek ke-11 ini, kumpulan Tiger yang aktif sejak tahun 2009 dapat dilumpuhkan.

Pada masa sama, ujar Azmi, keseluruhan empat senjata api yang telah berjaya dirampas polis sepanjang tempoh 18 Jun hingga 26 Jun lalu.

“Kita percaya antara senjata api yang dirampas ini ada yang digunakan untuk tujuan jenayah seperti dadah, samun dan bunuh dan lain-lain.

“Kita juga tidak menolak kemungkinan tiga daripadanya digunakan dalam kes bunuh yang dikaitkan dengan kumpulan berkenaan,” ujarnya.

Terdahulu, polis menumpaskan kumpulan yang disyaki bergiat aktif melakukan 15 kes jenayah samun dan pecah rumah selepas menahan sembilan individu termasuk seorang wanita di sekitar Lembah Klang pada 18 Jun hingga 21 Jun.

Seorang lagi anggota kumpulan itu maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Taman Salak Selatan, di sini pada 18 Jun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI