fbpx

Johor Jewels tepati ramalan ke final

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Johor Jewels, An Najwa Azizan cuba melakukan jaringan pada aksi separuh akhir Sooka Netball Super League (NSL) menentang Pahang Tulips di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Seperti dijangka, Johor Jewels tidak berdepan banyak masalah untuk melangkah ke perlawanan akhir Sooka Netball Super League (NSL) selepas menewaskan Pahang Tulips 73-54 sebentar tadi.

Pada aksi separuh akhir yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara, Johor yang diiringi paluan gendang penyokong bermula garang menerusi gerakan-gerakan berbahaya duo tengah, Pow Mei Foong dan Nurfariha Abdul Razak.

Pasukan dari Selatan tanah air itu yang diperkuatkan penyerang terbaik negara, An Najwa Azizan menampilkan aksi cukup baik pada suku masa pertama apabila selesa mendahului 21-10 menuju ke waktu rehat.

Bersambung suku masa kedua, Pahang dilihat cuba merapatkan kedudukan, namun kekebalan benteng pertahanan Johor yang diketuai penjaga gol (GK), Gayani Samanthika memberi kesukaran buat pasukan dari Pantai Timur itu.

Meskipun sudah mendahului dengan selesa, namun skuad kendalian Fazira Mesnan itu terus menampilkan aksi agresif apabila terus melancarkan serangan demi serangan sebelum menamatkan suku masa kedua 44-20.

Pada suku masa ketiga, perlawanan terus berlangsung dalam keadaan ‘berat sebelah’ apabila Johor melancarkan serangan demi serangan ke arah kubu pertahanan Pahang.

Walaupun perlawanan didominasi Johor, namun skuad kendalian Hapizah Jaafar tetap mencuri tumpuan menerusi goal shooter (GS), Siti Maisarah Affandi yang dilihat konsisten melakukan jaringan buat pasukannya.

Memasuki suku masa keempat, Pahang berjaya mengimbangi permainan Johor selepas An Najwa, Mei Foong dan Nurfariha dikeluarkan bagi membawa masuk pemain yang lebih cergas.

Bagaimanapun, kemasukan semula An Najwa dan Nurfariha pada pertengahan permainan membolehkan Johor kembali memperkemaskan permainan dan memastikan kemenangan berharga 73-54.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI