fbpx

Pahang Tulips kekal rentak positif NSL 2022

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Penyerang Pahang Tulips, Nurirdina Sumaya Mohd. Zaidi (tengah) cuba melakukan jaringan pada saingan Netball Super League menentang Kedah Sunshine di Stadium Juara, Bukit Kiara hari ini.

KUALA LUMPUR – Pahang Tulips terus menampilkan aksi konsisten dalam saingan Sooka Netball Super League (NSL) 2022 selepas mencatat kemenangan 71-54 ke atas Kedah Sunshine sebentar tadi.

Pada perlawanan yang berlangsung di Stadium Juara, Bukit Kiara itu, permainan berlangsung dengan agak seimbang apabila kedua-dua pasukan menampilkan aksi menyerang dengan Pahang mendahului 20-14.

Bagaimanapun, Kedah seolah-olah mendapat semangat baharu pada suku masa kedua apabila sedaya upaya mengejar dan menyamakan kedudukan 30-30 sebelum kembali berada di belakang 31-34.

Gandingan goal shooter (GS), Norashikin Kamal Zaman dan goal attack (GA), Siti Maisarah Affandi berjaya membantu Pahang mengucar-kacirkan kubu pertahanan Kedah sepanjang perlawanan tersebut.

“Sebenarnya, sebelum datang tadi anak saya ada berdepan alergi, jadi agak kelam kabut ke stadium sehingga terganggu permainan ketika masuk di suku masa kedua. Ketika itu, saya teringat mengenai anak.

“Bagaimanapun, masuk suku masa ketiga barulah saya dapat fokus sepenuhnya kepada permainan dan bermain seperti biasa. Saya gembira kerana pasukan kami boleh dikatakan agak mantap,” kata Norashikin sebaik tamat perlawanan.

Pada suku masa keempat, perlawanan jelas dikuasai sepenuhnya oleh Pahang apabila menambah jaringan demi jaringan, sekali gus melenyapkan semangat juang Kedah untuk melakar kebangkitan.

Menjelang perlawanan seterusnya Ahad ini, Pahang dijadualkan bertemu Perak Phoenix sementara Kedah akan membuat perhitungan dengan Kuala Lumpur (KL) Wildcats.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI