fbpx
Mulai 1 Julai ini, tiada lagi Skim Kawalan Harga Maksimum bagi ayam segar yang ketika ini harga siling RM8.90 sekilogram. – GAMBAR HIASAN

Rakyat tertekan, belanja dapur RM100 tahan dua hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PETALING JAYA – Rakyat mula bimbang jika trend kenaikan harga barangan terus mencanak sejurus pemansuhan harga si­ling ayam dan telur serta subsidi minyak masak sawit tulen dalam kemasan botol mulai 1 Julai ini.

Keluarga miskin dan kategori B40 menjadi antara golongan yang terus terhimpit dengan dilema kenaikan harga barangan keperluan ketika ini sehingga terpaksa mengurangkan perbe­lanjaan harian demi meneruskan kelangsungan hidup.

Di George Town, Pulau Pinang, seorang operator kilang, Nurnadiah Ismail, 34, berkata, kos sara hidup mereka sekeluarga yang bergaji tak sampai RM3,000 sebulan dijangka me­ningkat dua kali ganda selepas ini sehingga terpaksa memikirkan cara untuk berjimat-cermat termasuk ‘mencatu’ makanan.

Akui ibu kepada tiga cahaya mata itu, mereka tiada pilihan melainkan terpaksa mengurangkan kuantiti pembelian barangan dapur yang sebelum ini dilakukan setiap seminggu sekali.

“Bayangkan, jika sebelum ini kos pembelian barangan dapur bernilai RM100 mampu bertahan empat hari, tetapi selepas ini stok mungkin tidak sampai dua hari sahaja terutama minyak masak, telur dan ayam.

“Nilai duit RM100 yang dike­luarkan itu tidak termasuk pembelian barangan basah atau mentah seperti sotong, daging dan udang. Cuma hanya seekor ayam, sayur, ikan dan barangan keperluan memasak terutama minyak masak,” katanya kepada Kosmo! .

Seorang lagi pekerja swasta, Rashid Ahmad, 39, berkata, dia jangkakan kenaikan harga bara­ngan pasti berlaku ekoran pemansuhan harga siling dan subsidi tiga barangan utama itu.

“Tunggu dan lihat sahaja. Ketika ini, belum pun tamat pemansuhan harga siling dan subsidi, banyak harga barangan terutama makanan di restoran telah naik.

“Kos perbelanjaan kami anak-beranak sudah naik sehingga 60 peratus ketika ini sedangkan gaji bersih saya dan isteri jika digabungkan hanya berbaki tidak sampai RM600 sebulan.

“Ini belum tolak lagi kos minyak motor dan kereta serta rawatan anak di klinik jika jatuh sakit.

“Pening kepala saya fikirkan tentang sumber kewangan bagi menampung kos sara hidup kami sekeluarga pada masa akan datang,” ujarnya.

Rashid berharap kerajaan dapat mencari solusi dalam jangka masa panjang dalam membantu meringankan bebanan yang bakal ditanggung rakyat terutama berpendapatan rendah.

Di Kuala Muda, Kedah, seorang operator kilang, Nurul Wahida Ismail, 35, berkata, dia bimbang tindakan kerajaan memansuhkan harga siling ayam dan telur serta subsidi minyak masak akan menyebabkan kenaikan harga barangan lain.

Ibu kepada dua anak itu berkata, kenaikan tersebut akan memberi ‘tempias’ kepada peniaga makanan berasaskan ayam, telur dan minyak yang pastinya akan menaikkan jualan mereka.

“Saya dan suami hanya bekerja sebagai operator kilang dengan pendapatan kasar masing-ma­sing sebanyak RM1,600 sebulan.

“Sebelum ini pun kami telah berjimat-cermat dalam berbe­lanja memandangkan banyak barang dah naik harga, nak bawa anak-anak keluar bercuti pun dah tak mampu,” ujarnya.

Namun, rata-rata mereka yang ditemui bersyukur apabila kerajaan mengumumkan bantuan tunai tambahan kepada keluarga golongan B40 melibatkan pemberian RM100, manakala golongan bujang pula menerima RM50.

Bantuan Keluarga Malaysia itu diberikan dengan mengambil kira cabaran sara hidup dan kenaikan harga barang.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN