fbpx

Nafas perlu RM700 juta tingkat hasil pertanian, rantaian ayam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Abd Rahman (kiri) menyerahkan sijil penghargaan kepada ahli PPK Sungai Besar pada Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan PPK Sungai Besar hari ini.

SABAK BERNAM – Pertubuhan Peladang Kebangsaan (Nafas) memerlukan peruntukan berjumlah RM700 juta daripada kerajaan bagi meningkatkan hasil pertanian terutama rantaian industri ayam.

Ahli Jemaah Pengarahnya, Datuk Dr. Abd Rahman Bakri berkata, peruntukan itu akan membantu pelan perancangan berskala besar termasuk menstabilkan semula isu kekurangan bekalan dan harga pasaran ayam.

Katanya, Nafas kini mempunyai enam ladang ayam yang mampu menghasilkan 278,500 ekor bagi satu pusingan.

“Semua ladang ternakan berkenaan merupakan milik Nafas dan juga ladang kontrak. Ia masing-masing terletak di Rengit Johor; Alor Gajah, Melaka; Beruas dan Padang Rengas, Perak; Nibong Tebal, Pulau Pinang dan Baling, Kedah,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Majlis Perasmian Mesyuarat Agung Tahunan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Sungai Besar Kali ke-41 di Dewan Terbuka Dataran PPK Sungai Besar di sini, hari ini.

Jelas Abd. Rahman, rantaian industri ternakan ayam bermula anak ayam, makanan ternakan, reban dan pusat pemprosesan.

“Selain itu, ia melibatkan penyediaan bilik sejuk beku, logistik dan pusat pengedaran. Proses itu juga bermula daripada pemasaran sehingga bekalan sampai kepada pengguna,” katanya.

Tambah beliau, Nafas turut terlibat dalam industri penanaman jagung bijian bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap import bahan mentah untuk makanan ayam.

“Kawasan seluas 12,140 hektar di Kelantan dan Terengganu yang sebelum ini digunakan bagi tanaman tembakau dikenal pasti untuk digunakan semula bagi tanaman jagung bijian.

“Usaha itu diharap membantu kerajaan memastikan harga ayam di pasaran kekal stabil sekali gus mengurangkan keresahan rakyat,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI