fbpx

Kilang santan sawit inisiatif Felcra bantu kerajaan jamin keselamatan makanan negara

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mahdzir (dua kiri) menunjukkan santan sawit yang dikeluarkan FPESB di kilang mereka di Changkat Jong, di sini, hari ini.

TELUK INTAN – Pembinaan kilang pengeluaran santan sawit milik Felcra Berhad melalui anak syarikatnya Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd (FPESB) merupakan inisiatif syarikat itu dalam membantu pelan jaminan keselamatan makanan negara.

Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Seri Mahdzir Khalid berkata kilang yang dibangunkan oleh FPESB itu menelan kos perbelanjaan sebanyak RM3.5 juta dengan RM3 juta merupakan geran Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) menerusi peruntukan di bawah Rancangan Malaysia Ke-11 (RMK11).

Manakala menurut Mahdzir baki kos pembinaan kilang berjumlah RM500,000 itu pula menggunakan sumber dalaman FPESB.

“Memandangkan permintaan tinggi terhadap santan sawit, Felcra mengambil keputusan untuk membuat pelaburan bagi membina kilang baharu ini dengan peningkatan kapasiti pengeluaran sekali ganda berbanding kilang lama.

“Pengeluaran santan sawit oleh Felcra ini juga sebagai alternatif kepada santan kelapa yang merupakan idea yang sangat strategik kerana ia dapat mempelbagaikan pilihan kepada pengguna,” katanya.

Beliau berkata demikian kepasa pemberita selepas hadir pada Majlis Perasmian Kompleks Industri Felcra Processing & Engineering Sdn. Bhd. di Changkat Jong, di sini hari ini.

Jelas beliau lagi, kilang pengeluaran secara komersil yang terletak di Changkat Jong, Teluk Intan itu mampu memproses 60 tan metrik santan sebulan berbanding 20 tan metrik sebelum ini.

“Sebelum ini kita sudah ada sebuah kilang bagi memproses minyak kelapa sawit menjadi santan sawit secara manual sahaja sebagai kilang perintis yang beroperasi sejak 2012, tetapi sekarang kita telah bina kilang baharu dengan kapasiti pengeluaran yang lebih tinggi dan operasi kilang adalah automatik sepenuhnya.”

“Saya yakin kilang baharu ini akan meningkatkan pengeluaran dan bekalan santan sawit di pasaran yang sekaligus akan memenuhi keperluan permintaan terhadap santan sawit yang telah meningkat melebihi 100 peratus”, kata Mahdzir. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI