fbpx

Raih pendapatan RM120,000 semusim jual durian

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Nordi menunjukkan buah durian yang dipajak dengan mengeluarkan buah lebat menunggu masa untuk gugur di Parit Sulong, Batu Pahat.

PONTIAN – Seorang penternak lembu mampu meraih pulangan lumayan RM120,000 semusim apabila menggunakan peluang dengan memajak beberapa kebun durian sekitar daerah ini.

Nordi Ahmad, 51, berkata, dua lokasi kebun durian yang dipajak iaitu 0.8 hektar di Parit Sulong, Batu Pahat dan 40 pokok di Ayer Baloi di sini.

Menurutnya, dia sudah hampir 30 tahun melakukan bisnes pajakan raja buah dan setiap musim dia mampu meraih ratusan ribu ringgit dengan memasarkan bekalan ke Kota Tinggi, Johor Bahru dan Lembah Klang.

“Setiap kali datang musim, memang saya akan pajak daripada beberapa pekebun kecil di sekitar daerah Pontian.

“Kadar pajakan bagi semusim bergantung kepada buah-buah durian yang ada, pada tahun lepas sebanyak RM12,000 bagi sebanyak 5,000 biji dan tahun ini RM18,000 antara 5,000 hingga 8,000 biji.

“Dua varieti durian yang dipasarkan ialah durian kahwin jenis Kasap Merah dan D88 dengan harga antara RM8 hingga RM15 sekilogram,” katanya ketika ditemui di Kampung Parit Gantong, Sangalang di sini.

Katanya, ketika musim Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) pada tahun lalu, disebabkan terdapat sekatan pergerakan, dia menyerahkan pemasaran buah-buah durian kepada Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Ayer Baloi sepenuhnya.

“Alhamdulillah dengan kebenaran merentas daerah dan ne­geri, saya turut memasarkan juga buah-buah durian sebahagiannya, manakala sebahagian lagi kepada PPK Ayer Baloi,” ujarnya yang juga menternak sebanyak 70 ekor lembu.

Jelas Nordi, aktiviti memajak kebun durian telah dilakukan sebelum dia mendirikan rumah tangga sehingga telah berkahwin dengan sedikit keuntungan digunakan sebagai modal menternak lembu.

Ujar Nordi, bagi setiap kebun durian yang dipajaknya, pada tahun ini mempunyai buah durian anggaran 6,000 dan 8,000 biji yang mampu bertahan selama sebulan masa tuainya.

“Bagi setiap kali turun ke lapangan, saya bersama isteri akan membawa sebanyak 200 hingga 300 kilogram durian yang dijual kepada pembeli sehingga habis jualannya,” tambah Nordi lagi.

Katanya, bagi mengelakkan pergantungan kepada kebun yang dipajak pada setiap tahun, dia turut menanam pokok durian yang kini baru berumur 3 tahun di kampungnya dengan durian kahwin dan kampung.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI