fbpx

200 orang awam dibunuh di Ethiopia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
ASKAR kerajaan menaiki trak di pekan Shewa Robit, rantau Amhara, Ethiopia pada 5 Disember lalu. - AFP

ADDIS ABABA  – Sekurang-kurangnya 200 penduduk awam  dipercayai dibunuh di rantau Oromia, Ethiopia oleh kumpulan pemberontak Tentera Pembebasan Oromo (OLA) pada Sabtu lepas, lapor saluran berita CNN kelmarin.

Serangan di bandar Gimbi itu mempunyai kaitan dengan pertempuran antara tentera kerajaan dan OLA, kata Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Ethiopia (EHRC) dalam satu kenyataan.

EHRC memberitahu CNN kelmarin bahwa serangan itu turut mengakibatkan ramai orang cedera, beberapa perkampungan musnah dan seluruh masyarakat dilanda trauma.

OLA yang pada tahun lalu bersekutu dengan pemberontak di rantau Tigray untuk memerangi kerajaan persekutuan dalam konflik berpanjangan di Ethiopia, menafikan semua tuduhan tersebut. 

Jurucakap OLA, Odaa Tarbii berkata pada  Ahad lepas bahawa rejim Perdana Menteri Ethiopia, Abiy Ahmed sekali lagi menyalahkan OLA berhubung kekejaman yang dilakukan oleh militia pro kerajaan sendiri semasa mereka berundur.

Kumpulan pemberontak itu dilabel sebagai organisasi pengganas oleh kerajaan Ethiopia dan sering kali dituduh menyerang penduduk awam dan menyasarkan etnik Amhara yang beragama Kristian.

Insiden Sabtu lepas adalah antara kekejaman paling buruk pernah melanda negara Afrika itu sejak pertempuran tercetus  di rantau Tigray, utara Ethiopia dalam tahun 2020 apabila kerajaan Abiy dan sekutunya dari rantau berjiran, Amhara cuba mematahkan pemberontakan oleh Tentera Pembebasan Rakyat Tigray (TPLF).

TPLF mendominasi kerajaan Ethiopia sebelum kebangkitan Abiy pada 2018.

Perang saudara berterusan itu menyaksikan kedua-dua belah pihak melakukan kekejaman dan berisiko memecahkan Ethiopia yang didiami oleh berbilang etnik dan suku kaum, demikian menurut beberapa kumpulan hak asasi manusia.

Tiada dakwaan bahawa TPLF terbabit dalam serangan pada Sabtu lepas.

Seorang pegawai polis tempatan memberitahu CNN bahawa serangan berlaku dekat kampung Tole dengan majoriti mangsa merupakan etnik Amhara.

“Serangan itu berlaku beberapa hari selepas  pertempuran sengit antara pasukan keselamatan kerajaan dengan pejuang OLA di kawasan tersebut,” katanya.

Beberapa mangsa terselamat memberitahu pegawai polis itu bahawa serangan bermula selepas pejuang-pejuang OLA cuba menyeberang kampung tersebut tetapi tidak diberi laluan oleh penduduk setempat dan sebilangan orang awam bersenjata. 

Ethiopia merupakan negara berbilang agama dan etnik serta mempunyai sekitar 110 juta penduduk yang bertutur dalam bahasa berbeza. Dua kumpulan etnik terbesarnya iaitu Oromo dan Amhara merangkumi 60 peratus populasi Ethiopia, manakala etnik ketiga terbesar, Tigray menyumbang sekitar  tujuh peratus. – Agensi 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI