PETALING JAYA – Dianggarkan 10 peratus daripada 400,000 kanak-kanak mengalami masalah kelewatan pertuturan atau ‘speech delay’ sehingga membataskan komunikasi bersama ibu bapa mahupun dengan individu lain.
Pakar Perubatan Keluarga, Dr. Fazlina Mohamed Yusoff berkata, masalah ini boleh dikesan seawal usia dua tahun.
Menurut beliau, kanak-kanak lelaki adalah tiga kali lebih berisiko untuk mengalami masalah kelewatan pertuturan berbanding kanak-kanak perempuan.
Jelasnya, secara amnya, pertuturan berkembang mengikut peringkat umur iaitu pada usia 12 bulan mereka boleh menyebut mama, papa dan satu atau dua patah perkataan lain.
“Pada usia 15 bulan pula, kanak-kanak boleh menyebut empat hingga tujuh patah perkataan dan seterusnya. Jika itu tidak berlaku maka kanak-kanak tersebut mengalami masalah speech delay dan mereka perlu mendapatkan pemeriksaan doktor.
“Peratusan tepat kes ini tidak diketahui disebabkan kebanyakan kanak-kanak ini lewat datang untuk pemeriksaan dan ibu bapa masih tidak percaya atau tidak mahu mengakui yang anak mereka mengalami masalah ini,” katanya kepada Kosmo! baru-baru ini.
Menjelaskan perkara itu, katanya, terdapat empat faktor yang boleh menyebabkan masalah ini berlaku iaitu pertama adalah kehilangan pendengaran pada peringkat awal perkembangan kanak-kanak.
“Kepekakan ini boleh berlaku jika ibu alami jangkitan kuman semasa mengandung seperti rubella atau ibu mengambil ubat ototoksik seperti doxycycline atau selepas lahir, bayi mengalami hypoxia, pendarahan otak, kernicterus, meningitis dan sebagainya.
“Ujian saringan awal yang dilakukan pada bayi selepas bersalin iaitu otoacoustic emissions (OAE) boleh membantu pengesanan awal masalah pendengaran ini.
“Jika ujian ini positif, maka ujian seterusnya adalah automated auditory brainstem response (AABR) pula akan dilakukan untuk mengetahui tahap penyakit itu sebelum dirujuk ke pakar otorinolaringologi (ENT),” ujarnya.
Tambahnya, faktor kedua pula adalah ketidakupayaan perkembangan seperti masalah autism, attention-deficit hyperactivity disorder (ADHD), sindrom down, sindrom waardenburg, cerebral palsy dan sebagainya.
“Faktor sosial juga boleh menyebabkan speech delay antaranya seperti kurang rangsangan pergaulan dan ada sesetengah kes melibatkan penderaan kepada kanak-kanak terbabit.
“Selain itu, kanak-kanak yang mempunyai masalah koordinasi otot mulut juga boleh menjadi punca lewat pertuturan.
“Kesannya boleh menyebabkan kanak-kanak mengalami masalah sosial seperti emosi sering terganggu, menjadi mangsa buli, kurang keyakinan diri, kemurungan atau psychosis,” katanya.
Pada masa sama, beliau menjelaskan, kanak-kanak terbabit juga menghadapi masalah pembelajaran dan menyesuaikan diri di dalam masyarakat.
Dianggarkan 10 peratus daripada lebih 400,000 kanak-kanak di Malaysia yang berusia empat tahun ke bawah dikesan mengalami masalah speech delay.
















