fbpx

Orang ramai gesa pihak berkuasa cari, tangkap lelaki ‘seksa’ kucing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Tangkap layar rakaman CCTV yang memaparkan aksi seorang lelaki didakwa membaling batu-bata ke arah seekor kucing sehingga berdarah.

PETALING JAYA – Tular di media sosial baru-baru ini, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) sebuah kedai memaparkan tindakan seorang lelaki yang didakwa dengan sengaja membaling batu-bata ke arah seekor kucing sehingga menyebabkan kecederaan di bahagian kepala.

Menerusi perkongsian seorang pengguna, Hawa yang juga memuat naik rakaman terbabit, memaklumkan lelaki berkenaan sememangnya kurang senang dengan kehadiran beberapa ekor kucing di kawasan kedai itu.

“Lelaki itu memang tak puas hati dengan semua kucing yang ada dekat situ, dia umpan bagi makan kemudian cari peluang untuk bunuh.

“Dalam video ini, kucing itu tengah makan kemudian dia ternampak batu-bata dekat tepi, terus ‘hempok’ dekat kepala kucing sampai ‘menggelupor’ berdarah,” katanya.

Sementara itu, Hawa turut berkongsi jenis dan nombor pendaftaran kereta yang dipandu lelaki tersebut seperti mana yang dikesan melalui rakaman CCTV.

Menjengah ke ruangan komen, rata-rata orang ramai menggesa pihak berkuasa segera menjalankan siasatan mengesan keberadaan lelaki tersebut serta memberi hukuman yang setimpal atas perbuatan kejamnya itu.

“Haiwan ini patut kita lindung, ada undang-undang, tolong cari, tangkap lelaki tersebut,” komen Azhari.

“Biar lelaki ini kena tangkap, kesian kucing itu,” ujar Teah.

Selain itu, Muhammad Muiz turut mengingatkan orang ramai untuk bertindak menggunakan akal dan jangan sesekali menzalimi haiwan.

“Tolonglah ada rasa kasih pada haiwan, macam-macam kes orang seksa haiwan, bagi makan racun, langgar, baling, tendang, pukul tanpa rasa bersalah, siap gelak ketawa, ingat, haiwan pun tahu rasa sakit,” pesannya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI