fbpx

Proses bawa pulang jenazah Faziani didakwa tidak ikut prosedur

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Arwah Faziani.

KOTA BHARU – Keluarga kepada pengasas produk kecantikan, Dnars Skincare, Faziani Rohban Ahmad membuat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) selepas mendakwa urusan membawa pulang jenazah usahawan itu tidak mengikut prosedur yang sah.

Laporan itu dibuat oleh abang sulung arwah Faziani, Mohd. Faisal Rohban Ahmad, 48, di Pejabat SPRM, Lundang di sini hari ini.

Peguambela dan peguamcara yang mewakili Mohd. Faisal, Leftenan Kolonel Bersekutu, Azhar Ahmad berkata, berdasarkan maklumat yang diperoleh, proses membawa pulang jenazah Faziani menimbulkan keraguan selepas dilakukan pada hari yang sama selepas kemalangan iaitu pada 18 Mei 2019.

Menurutnya, tindakan itu didapati tidak mengikut prosedur yang betul apabila jenazah yang meninggal dunia perlu mendapat surat kebenaran dari pejabat Konsulat Malaysia di Songkla, Thailand.

Mohd. Faisal (tengah) ketika ditemui pemberita selepas membuat laporan di pejabat SPRM, Lundang dekat Kota Bharu hari ini. /FOTO ROSALWANI CHE SOH

“Dalam kes ini, tiada surat tersebut sebelum jenazah dibawa pulang ke sini. Selain itu, urusan membawa jenazah juga singkat apabila kebiasaannya ia memerlukan sekurang-kurangnya lima hari.

“Bagaimanapun, jenazah Faziani sudah tiba di negara ini tidak sampai 12 jam selepas kemalangan,” katanya ketika ditemui pemberita di pekarangan pejabat SPRM di sini hari ini.

Mengulas lanjut, Azhar berkata, pihaknya juga sudah ke Wisma Putra di Putrajaya selain mendakwa mempunyai pengesahan daripada seorang pegawai yang memaklumkan bahawa urusan membawa pulang jenazah tidak mengikut prosedur sah.

Sementara itu, Mohd. Faisal berharap agar siasatan berhubung kes itu dapat dipercepatkan bagi mengelakkan masalah yang akan timbul selepas ini.

Menurutnya, kepulangan jenazah dalam tempoh singkat sebenarnya memudahkan segala urusan, namun ia menimbulkan keraguan keluarga mangsa yang tiada di lokasi kejadian.

Kosmo! Online sebelum ini melaporkan, keluarga arwah Faziani menuntut pihak polis menjalankan siasatan terperinci berhubung kematian wanita itu yang maut dalam kemalangan jalan raya di Pattani, Thailand, tiga tahun lalu.

Ahli keluarga Faziani berkata, laporan itu dibuat selepas pihaknya mengesyaki ada unsur-unsur lain dalam kemalangan yang berlaku pada 18 Mei 2019 itu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI